Q&A l Pakar Ekonomi Profesor Dr Jomo KS menempelak petunjuk-petunjuk ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa dasar ekonomi kerajaan BN amat berkesan.
Beliau terus mendedahkan kepincangan pentadbiran Najib yang antara lain, katanya, memotong peruntukan Belanjawan untuk kesihatan, pendidikan, kebajikan serta keselamatan tetapi menambahkan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
JPM alat pemusatan kuasa
Soalan: Dr Jomo pernah menarik perhatian kepada pembesaran Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Jawapan: Sebelum pembubaran parlimen, JPM mempunyai 10 orang menteri, tiga timbalan menteri, ketua setiausaha negara serta 34,000 kakitangan. Menurut laman webnya, setakat 2017, Menteri dalam JPM termasuk: Jamal Khir Baharom, Joseph Kurup, Joseph Entulu Balaun, Shahidan Kassim, Paul Low Seng Luan, Nancy Shukri, Wee Ka Siong, Azalina Othman Said, Abdul Rahman Dahlan dan Hishamuddin Hussein.
Timbalan Menteri terdiri dari Razali Ibrahim, Asyraf Wajdi Dusuka dan Devamany S Krishnamany.
Mereka dibantu Ali Hamsa, ketua setiausaha negara, dan tiga timbalannya. Dalam JPM, terdapat 57 jabatan, 10 badan berkanun persekutuan, 13 syarikat, lima agensi pembangunan ‘koridor’, lima yayasan dan dua badan antarabangsa.
Separuh daripadanya ada di JPM dari dulu lagi, tetapi sebahagian lagi tidak sepatutnya ada di JPM, terutamanya badan badan pengawasan – yang sepatutnya bebas daripada kerajaan atau eksekutif semasa, termasuk PM sendiri. Maka, struktur JPM sekarang mencerminkan pemusatan kuasa baru dalam tangan PM.
Peruntukan Belanjawan JPM cepat naik
Betulkah JPM telah cepat berkembang dalam dekad yang lalu?
Sebegai contoh, semasa Mahathir (1989-2003), RM5.2 bilion, atau pun 4.6 peratus dari Belanjawan 2000 sebanyak RM111 bilion, diperuntukkan untuk JPM.
Di bawah Abdullah Badawi (2003-2009), RM7.1 bilion, 4.8 peratus dari Belanjawan 2006, diberi kepada JPM.
Penambahan pekerja JPM mencerminkan perkembangan ini. Bilangan pekerja JPM telah naik dari 4,414 pada tahun 1981 ke 9,673 20 pada tahun 2001, 25,332 pada tahun 2009 dan 33,904 pada tahun 2017, tidak termasuk mereka yang kerja di Jabatan Pendakwaraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)!
Di bawah Najib pula, peruntukan JPM antara RM15-20 bilion, atau 5-7 peratus dari Belanjawan pada tahun 2010-2015. Peruntukan JPM telah memuncak pada tahun 2016, dengan RM20.6 bilion, atau 7.6 peratus dari Belanjawan RM267 bilion.
Dengan tambahnya peruntukan JPM, peruntukan pembangunan Belanjawan jatuh ke hanya RM46 bilion (16 peratus dari Belanjawan) pada 2018, paras paling rendah sejak Najib memerintah.
Kuasa JPM meningkat lagi
Tetapi apakah JPM telah mengkenepikan kementerian yang sedia ada?
Peruntukan Belanjawan untuk kesihatan, pendidikan, kebajikan serta keselamatan semuanya dipotong akibat peruntukan lebih untuk JPM. Malah, peruntukan pembangunan untuk kementerian lain dibolot JPM.
Peruntukan pembangunan ‘budibicara’ JPA tidak dilaporkan ke Parlimen, apa lagi rakyat biasa, boleh dibelanja sewenang-wenangnya, ikut suka hati PM – tanpa ketelusan, yang bermakna PM tidak lagi bertanggungjawab kepada sesiapa! Nampaknya, menteri lain pula tak berani merayu atau mengadu.
Lebih dari RM1.5 bilion untuk 1.6 juta pekerja kerajaan dijanjikannya beberapa hari sebelum Parlimen dibubar pada awal April. Bagaimana pula durian runtuh untuk pekerja kerajaan, rakyat India, BR1M, Teks1M, serta rakyat pulau Langkawi sebanyak RM2bn akan dibiayai?
Peruntukan Belanjawan tambahan sebanyak hampir RM9 bilion, yang diluluskan Parlimen pada Mac 2018, hanya untuk perbelanjaan lebihan, yang belum diperuntukkan, pada tahun 2017. Peruntukan Mac tidak merupakan peruntukan untuk perbelanjaan tambahan bagi tahun 2018.
Kuasa belanja tidak telus
Kenapa Dr pentingkan soal peruntukan pembangunan mengikut ‘budibicara’ PM?
Dana fasilitasi JPM, yang pernah digelarkan ‘dana gelap’ JPM telah diperuntukkan RM1.5 bilion pada tahun 2017 dan RM3.3 bilion bagi tahun 2018, tetapi tidak mencukupi untuk menunaikan semua janji barunya.
Ada dua jalan keluar: naikkan cukai lagi selepas PRU14 ataupun hutang lagi, yang bermakna cukai akan dinaikkan lagi pada masa depan. Tiada pilihan lain kalau janji PRU14 ditunaikan.
Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah pernah menerangkan bahawa peruntukan pembangunan ‘budibicara’ JPM tidak wujud sebelum Najib, sama ada pada zaman Mahathir atau Abdullah Badawi, apa lagi zaman Tunku, Razak dan Hussein.
Sepatutnya, kerajaan bertanggungjawab atas segala yang dikutip daripada rakyat, yang dipinjam dan dibelanja atas nama rakyat.
Wujudnya peruntukan pembangunan JPM demikian bercanggah dengan prinsip amanah sebalik proses Belanjawan, yang melibatkan duit rakyat, termasuk hutang yang mesti dibayar balik rakyat melalui cukai lebih tinggi, sama ada sekarang atau kemudian.
Harapkan pegar, pegar makan padi - pakar ekonomi
Harapkan pegar, pegar makan padi II - pakar ekonomi