malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas SUK Sabah kata BN terlalu lama berkuasa
ADS

PRU14 | Bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah, Simon Sipaun berpendapat perubahan kerajaan yang mentadbir negara sangat diperlukan.

"Bagi saya, kita memerlukan perubahan kerana kerajaan ini telah berkuasa terlalu lama dan saya fikir mereka (BN) mengambil mudah hal ini dan tidak pernah membayangkan pihak lain boleh mengambil alih pentadbiran negara.

"Mereka fikir ia hampir menjadi hak diberikan tuhan bagi mereka untuk memerintah. Kebimbangan utama saya mengenai kepimpinan terutama perdana menteri," katanya kepada pemberita di Penampang hari ini.

Sipaun sebelum ini telah memberikan ucapan dalam program di kawasan itu bersama-sama calon PKR Jenifer Lasimbang dan calon DAP Jannie Lasimbang yang bertanding untuk kerusi masing-masing Moyog dan Kepayan.

Menjelaskan kehadirannya di program itu, Sipaun berkata beliau hanya datang selepas mendapat undangan rakannya daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN). Sipaun juga menafikan beliau menyertai parti itu.

"Saya datang ke sini untuk melihat-lihat dan tiba-tiba saya dipanggil untuk bercakap, tetapi saya memang (ada) mempunyai pandangan politik," katanya.

Sementara itu, Sipaun, mengulas peranan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua pembangkang.

"Hanya seorang negarawan sahaja yang dapat mengakui, selepas memimpin negara selama 22 tahun, beliau memiliki keberanian untuk mengakui beliau mungkin telah membuat kesilapan dan memohon maaf kepada orang-orang yang disakitinya.

"Tidak banyak pemimpin boleh sampai ke tahap meminta maaf dan mengakui kesilapan lalu," kata bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu lagi.


"Walaupun beberapa pemimpin kami mengatakan bahawa rakyat tidak boleh memaafkannya, terutama atas dakwaan peranannya dalam ibu semua masalah - pendatang tanpa izin - tetapi beliau tidak memegang kuasa sepanjang 15 tahun yang lalu, apa yang telah dilakukan kerajaan untuk benar-benar menyelesaikan masalah ini?

"(Ada) Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tetapi saya tidak dapat melihat apa-apa (perubahan nyata) substantif yang telah memperbaiki keadaan.

Ramai orang Sabah mendakwa Mahathir terkait dengan apa yang dipanggil 'Projek IC', yang menyaksikan beribu-ribu warga asing di Sabah diberi kerakyatan yang secara dramatik mengubah penduduk negeri itu.

RCI tersebut membuat rumusan menyalahkan penjawat awam yang korup untuk 'Projek IC'.

Sementara itu, Sipaun dalam ucapannya sebelum ini mengingatkan kerajaan sementara terhadap janji pada 2013 membina sebuah hospital untuk rakyat di Penampang.

 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen