PRU14 | Beberapa dekad lalu, ketika Umno masih remaja, kebanyakan anggota dan pemimpin akar umbinya adalah guru.
Tetapi pada PRU 2013, di Johor tempat lahirnya parti itu, guru juga yang menyumbang kepada kekalahan salah seorang 'panglimanya', Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beberapa sumber akar umbi Umno memberitahu Malaysiakini, golongan guru dan keluarga mereka memberontak terhadap Puad - ketika itu timbalan menteri pelajaran - ekoran dakwaan pemindahan guru yang menyokong pembangkang dan mencetuskan rasa tidak puas hatinya.
"Dia ingat jadi timbalan menteri dia boleh suka-suka tukar cikgu. Ketika itu majoriti cikgu tak sokong dia, sebab itu dia kalah...(PRU ke-13) BN kalah sebab calon (Puad)," kata seorang anggota Umno veteran yang hanya mahu dikenali sebagai Kamran.
Kamran mendakwa Puad mencari permusuhan dengan ramai pemimpin akar umbi, dengan menyisihkan mereka yang berani mempersoalnya dan tidak memberi projek kepada kontraktor.
Di mata penentangnya, Puad dilihat sebagai angkuh dan sombong.
Imejnya bagaimanapun sedikit pulih selepas 2013, apabila ramai pengundi di Batu Pahat memberitahu Malaysiakini Puad seorang yang mudah mesra dan banyak memberi bantuan.
Namun sudah terlambat buatnya, dengan pimpinan parti memutuskan untuk mencalonkan Ketua Wanita Bahagian Haliza Abdullah (gambar) di Parlimen Batu Pahat.
Puad bukan lagi calon BN dan tidak jadi bertanding bebas, maka akar umbi Umno berharap golongan guru dan anggota parti yang sebelum ini tidak berpuas hati akan kembali mengundi BN.
"Saya yakin mereka yangg sebelum ni merajuk dengan BN akan kembali mengundi BN," kata ketua daerah mengundi Umno Senggarang Barat Saari Bidin.
Puad juga nampaknya tidak akan dapat mengumpul cukup sokongan untuk mensabotaj Haliza secara dalaman.
"Dia mungkin cuba sabotaj (Haliza)...Tetapi takkan ada impak besar. Bukan semua orang suka dia dan pengaruh Umno lagi kuat," kata pengundi Batu Pahat Zulhaimi Rosli.
Jika benar anggota Umno yang tidak berpuas hati kembali mengundi Umno kali ini, ia berita buruk kepada PKR. Pada PRU lalu, parti itu membuat kejutan dengan menang di kerusi itu dengan majoriti 1,732 undi.
Tsunami Cina
Tidak jelas peratusan undi yang diterima PKR pada PRU lalu adalah daripada undi protes.
Ketika ditanya tentang undi protes itu, Puad membangkitkan 'tsunami Cina'. Beliau mendakwa mendapat 80 peratus daripada 40,000 pengundi Melayu ketika itu.
Namun beliau berkata mendapat kurang 15 peratus pengundi Cina yang berjumlah 34,000. Selebihnya pergi kepada PKR.
"Jika ketika itu(Presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding di Batu Pahat dia pun akan kalah. Dia kalah di semua 14 daerah mengundi Cina di Pagoh," kata Puad kepada Malaysiakini.
PKR pula yakin akan dapat mengekalkan undi guru yang berpihak kepada mereka pada 2013.
Setiausaha PKR Johor, Khuzzan Abu Bakar berkata guru berharap standard pendidikan negara akan meningkat dan ia melalui menukar kerajaan pusat.
Calon payung terjun
Namun PKR kini berdepan dua masalah - penyandang yang sebelum ini 'hilang' dari kawasan dan calon baru yang kurang dikenali penduduk tempatan di saat Haliza yang memang cukup dikenali di Batu Pahat.
Sejumlah pengundi memberitahu Malaysiakini mereka amat jarang melihat wakil rakyat penggal lalu, Datuk Idris Jusi (gambar) sebelum ini.
"Kita kena faham masyarakat separa bandar dan luar bandar mahu wakil rakyat turun padang dan selesaikan masalah mereka, tetapi ini tidak berlaku," kata Khuzzan.
Idris memang lahir di Batu Pahat, tetapi dilaporkan sudah lama berhijrah sebelum dicalonkan pada 2013.
Kini PKR menggantikannya dengan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Rashid Hasnon. Beliau lahir dan membesar di Muar tetapi, seperti Idris, menghabiskan kehidupan dewasa di luar Johor.
Walaupun dianggap nama besar di utara, Rashid (gambar) secara relatifnya tidak dikenali di Johor. Ia boleh memberi masalah terutama di kalangan pengundi Melayu.
Dalam satu ceramah yang turut menampilkan Rashid berdekatan kawasan kejiranan Melayu di Taman Damai, Penggaram - kubu DAP - sejumlah besar daripda 150 hadirin adalah orang Cina. Kira-kira 20 hadirin Melayu yang ada pula tidak mengenalinya.
Malah, menurut Khuzzan, ada yang merasakan dirinya yang bertanding di Parlimen itu sedangkan beliau bertanding di DUN Semerah di Parit Sulong.
Bantuan pemimpin tempatan
Dengan keadaan itu, ramai pemimpin tempatan pembangkang berharap Rashid - yang membawa pasukannya sendiri - akan meminta berhubung dengan pemimpin akar umbi agar dapat membantu memperkenalkan dirinya.
Di sebuah restoran di Penggaram, sekumpulan 'orang lama' termasuk dua veteran Umno yang cenderung untuk menyokong HARAPAN berharap Rashid dapat bekerjasama dengan bekas Ketua PKR Batu Pahat, Syed Hamid Ali (gambar, dua dari kiri).
Beliau adik kepada bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali, seorang aktivis yang sangat dikenali dan mesra dipanggil sebagai Pak Habib.
"Pak Habib kena pakai baju PKR, mereka kena bawa Pak Habib berkempen untuk kenalkan Rashid," kata salah seorang veteran Umno itu kepada Syed Hamid yang turut bersama.
Dipilih sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai PKR Batu Pahat, ramai merasakan Syed Hamid yang akan bertanding di situ pada PRU lalu.
Namun bekas setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada lewat 1960-an itu digantikan di saat akhir dengan Idris.
Pada masa itu beliau tidak berkempen untuk Idris, tetapi kali ini bersedia membantu Rashid.
"Ketika Rashid datang jumpa saya perkara pertama yang saya kata, 'apa saya boleh buat untuk tolong anda'," kata Syed Hamid.
Beliau yang sudah berusia 75 tahun itu bagaimanapun mengakui kegiatan berkempen lebih sesuai untuk orang muda, tetapi sanggup memberi ucapan dalam program ceramah jika diberi peluang.
Pengurus kempen Rashid, Mujahid Hasanudin ketika ditemui Malaysiakini berkata memang ada rancangan untuk menyertakan Syed Hamid dalam kempen mereka.
Faktor PAS
Rashid sendiri mengakui faktor anak tempatan amat penting di Batu Pahat, dan berharap hakikat yang beliau berasal dari Muar yang bersebelahan dengan daerah itu, dan kemampuannya bercakap jawa akan memberi kelebihan kepada pengundi Jawa.
Mujahid berkata sejumlah 30 peratus daripada daerah mengundi di Batu Pahat, terutama Rengit, adalah perkampungan Jawa.
Halangan terakhir buat PKR di sana adalah PAS, yang menurunkan Ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed (gambar).
PAS adalah seteru tradisi BN di dua daripada tiga DUN dalam Parlimen Batu Pahat - Senggarang dan Rengit. Kedua-duanya amat penting untuk mendapatkan undi Melayu.
PAS kalah di kedua-dua kerusi pada 2013, tetapi mendapat 44 peratus dan 32 peratus undi di Senggarang dan Rengit.
"PKR menang pada 2013 atas sebab Pakatan Rakyat, bukan dengan nama PKR sendiri," kata Mahfodz kepada Malaysiakini.
Veteran Umno Kamran bagaimanapun mendakwa ramai anggota Umno juga telah menyertai PAS sebelum 2013 selepas disisihkan Puad.
Pada PRU 2004, PAS menang tanpa bertanding di Senggarang selepas calon BN hilang kelayakan ekoran masalah teknikal.
Pada PRU kali ini pengundi Melayu malah menjadi lebih penting. Peratusan pengundi Melayu meningkat daripada 52 peratus pada 2013 kepada 55 peratus, manakala pengundi Cina berkurang daripada 46 peratus kepada 44 peratus.