malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR akan guna 'Muhyiddin' di kertas undi
ADS

PRU14 | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya SPR akan mencetak kertas undi bagi bahagian pilihan raya Parlimen Pagoh dengan menggunakan nama sebenar beliau iaitu ‘Mahiaddin’.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menegaskan bahawa nama yang akan dicetak pada kertas undi tersebut adalah seperti mana yang tertera pada ruangan 3 Borang 4 dan 4A yang telah diterima SPR iaitu ‘Tan Sri Muhyiddin Yassin’.

“Hasil semakan, dalam laman web SPR dan aplikasi My SPR Semak juga mendapati paparan nama yang tertera adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin melainkan nama dalam senarai Daftar Pemilih yang mengikut nama asal seperti mana di kad pengenalan beliau,” katanya.

Katanya, berhubung dengan nama beliau yang juga Presiden PPBM yang tertera pada keputusan PRU ke-13, SPR menjelaskan bahawa nama pemenang pilihan raya apabila diwartakan dalam Borang 16 akan tertera nama penuh atau nama sebenar pemenang dan bukannya nama pada kertas undi.

“Sehubungan dengan itu, SPR berharap dengan penerangan ini ia dapat memberi penjelasan terhadap perkara yang dibangkitkan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen