PRU14 | Fokus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan di kawasan Parlimen Marang, calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Nor Endut yakin pengundi muda akan memberi peluang kepada BN untuk mewakili kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) ini.
Beliau berkata ini berdasarkan peningkatan populasi golongan muda di kawasan itu yang dahagakan pembangunan yang gagal dilaksanakan wakil rakyat sebelum ini.
"Parlimen Marang kali ini dikuasai oleh hampir 60 peratus pengundi muda dan pengundi-pengundi muda ini harus melihat masa depan mereka. Mereka perlu diwakili oleh parti yang mendahulukan rakyat dan pembangunan.
"Kita telah menggerakkan jentera parti kita sejak awal lagi di kawasan Parlimen ini, sebaik sahaja habis PRU13… kita yakin dengan usaha yang kita buat, rakyat akan dapat menilai sendiri," katanya kepada Bernama.
Pada PRU14 ini, Mohamad Nor akan menentang penyandang kerusi Parlimen itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan calon AMANAH Dr Zarawi Sulong.
BN salur dana pembangunan
Meskipun dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata kerajaan BN masih menyalurkan dana bagi tujuan pembangunan di kawasan itu dalam usaha membantu rakyat.
Mohamad Nor berkata Marang sangat berpotensi untuk menarik pelabur terutamanya dalam sektor perumahan namun terbantut kerana kurang keyakinan daripada pelabur lantaran tiada wakil kerajaan di Parlimen itu.
Katanya BN akan berusaha membawa masuk pelabur termasuk untuk industri berat sekiranya BN diberikan mandat di kawasan Parlimen itu dalam PRU14 pada 9 Mei ini.
Sementara itu, bekas penyandang kerusi Parlimen Marang daripada BN Datuk Abdul Rahman Bakar menyuarakan keyakinan bahawa Mohamad Nor mampu menjadi "Giant killer" kedua di Parlimen Marang pada PRU kali ini.
Abdul Rahman pernah digelar "Giant killer" di Marang apabila berjaya menewaskan Abdul Hadi dalam pilihan raya umum pada 1986 dan 2004.
"Saya yakin bahawa rakyat yakin dengan BN kerana parti ini lah yang telah membawa pembangunan, kemajuan dan kejayaan untuk Marang, Terengganu seterusnya Malaysia.
Inilah yang kita perlu tonjolkan kepada para pengundi untuk PRU kali ini," katanya.
Berkongsi resepi kejayaannya menumpaskan Abdul Hadi, Abdul Rahman berkata beliau mengamalkan sikap mesra dengan semua pengundi sama ada penyokong BN mahupun sebaliknya.
-Bernama