malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anak Dr M tak terganggu cakap-cakap mengenai kekayaannya
Diterbitkan:  Apr 29, 2018 5:40 PM
Dikemaskini: 9:49 AM
ADS

Pengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sering menumpukan perhatian terhadap kekayaan anak-anaknya, dengan mendakwa ia diperoleh kerana pengaruh dan kedudukan bapa mereka.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mokhzani Mahathir tidak terganggu dengan tuduhan tersebut.

"Saya tidak terganggu. Ini adalah waktu pilihan raya, mereka akan kata macam-macam, "kata ahli perniagaan itu dipetik oleh The Edge Markets.

Mokhzani juga mendakwa BN telah melupakan jasa-jasanya ketika meminta bantuan beliau untuk membiayai kempen parti itu.

"Pada masa itu mereka tahu macam mana nak minta bantuan saya dan saya pernah bantu mereka tetapi kini mereka telah melupakannya," katanya.

Bagaimanapun, Mokhzani enggan mengulas sama ada beliau ada membiayai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anak kedua kepada bekas perdana menteri yang mempunyai kekayaan dianggar bernilai AS$ 380 juta itu disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai antara 50 individu terkaya di Malaysia.

Mokhzani adalah pengasas bersama Sapura Energy Bhd, serta pengerusi dan pengarah eksekutif pembuat kabel fiber optik, Opcom Bhd.

Pada 4 April, Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak Mokhzani mengungkit kekayaan Mokhzani berikutan janji HARAPAN dalam manifestonya untuk menghapuskan tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) jika ia berkuasa.

Najib mempersoalkan dari mana HARAPAN akan memperoleh RM380 bilion bagi membayar pampasan konsesi berkenaan.

Menurut Najib, sekaya manapun Mokhzani tidak mungkin beliau dapat menampung jumlah itu.

Menurut laporan The Edge Markets, Mokhzani berada di Langkawi.

Mahathir semalam menyerahkan kertas pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Langkawi dan akan berdepan pertandingan tiga penjuru melibatkan penyandang BN Datuk Nawawi Ahmad dan calon PAS Zubir Ahmad.

The Edge Markets melaporkan Mokhzani menjual sahamnya dalam Sapura Energy pada November lalu, yang menjadi pemegang saham utama dalam syarikat minyak dan gas itu apabila syarikat kawalannya Khasera Baru Ltd menjual 387.97 juta saham bernilai RM577.46 juta.

Syarikat pengurusan aset persendirian miliknya, Kencana Capital Sdn Bhd, masih dilaporkan memegang 0.08 peratus dan 0.16 peratus lagi kepentingan ekuiti dalam Sapura Energy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen