malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
See-To: Mansuh tol propaganda rugikan rakyat
ADS

ULASAN | Melalui satu video propaganda DAP tentang penghapusan tol lebuh raya, Tony Pua cuba menggambarkan Datuk Seri Najib Razak perlu dipersalahkan terhadap konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) yang kononnya untuk mengkayakan kroni.

Tony berkata perjanjian konsesi lebuhraya MEX sangat berat sebelah. Menurutnya RM976.7 juta wang pembayar cukai diberikan kepada pemegang konsesi melalui satu geran - jumlah itu bersamaan 74 peratus daripada keseluruhan kos projek yang bernilai RM1.32 bilion.

Barangkali Tony sudah lupa dia sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bertarikh 18 April 2012, bertajuk 'Dr Mahathir's criticism of Maju Expressway sale smacks of hypocrisy and false righteousness when it was him who awarded the concession to Tan Sri Abu Sahid Mohamed'?

Dalam kenyataan itu, Tony berkata:

“Persoalan diutarakan Dr Mahathir itu adalah putar belit dan tidak logik, di mana secara dasarnya beliau sendiri yang menganugerahkan perjanjian berat sebelah itu kepada Tan Sri Abu Sahid Mohamed pada 1997 dan kemudiannya membuat penilaian semula perjanjian serta terma konsesi pada 2003 sebelum persaraaannya.”

Maka Tony (gambar) bersikap tidak jujur apabila memberi gambaran bahawa Najib bertanggungjawab terhadap perjanjian itu untuk mengisi poket kroni BN, walhal pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang juga calon perdana menteri mereka yang perlu dipertanggungjawabkan.

Tony juga berkata HARAPAN boleh membeli semula lebuh raya MEX pada harga hanya RM400 juta, tetapi dia tidak mengendahkan bahawa pemilik Lebuhraya itu, Maju Expressway Sdn Bhd, mempunyai pinjaman bank hampir RM1.6 bilion.

Ini bermakna jika kerajaan hanya membayar RM400 juta bank akan menanggung kerugian RM1.6 bilion.

Akhirnya, pasti kerajaan juga yang menanggung beban pinjaman itu, kecuali kerajaan sanggup membiarkan bank menanggung kerugian hanya untuk lebuh raya itu.

Rakyat yang rugi

Tony juga berkata Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) - yang diluluskan dan disiapkan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad - boleh dibeli dengan harga RM300 juta.

Dia bagaimanapun tidak mengendahkan fakta bahawa LDP aset paling berharga kepada syarikat yang disenarai awam, LITRAK Berhad yang turut memiliki Lebuhraya Sprint.

Syarikat itu kini memiliki nilai pasaran RM3.01 bilion dan pinjaman bank serta bon tertunggak sekitar RM1.5 bilion.

Ini bermakna, jika LDP dibeli pada harga RM300 juta sekalipun, ia akan meranapkan nilai pasaran saham RM3.01 bilion dan menjadikan bank dan pemegang bon menanggung kerugian RM1.5 bilion dalam bentuk pinjaman.

Pemegang saham terbesar LITRAK pula adalah institusi dana awam seperti Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanahraya, Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), amanah saham serta tujuh peratus pelabur runcitan.

Apakah HARAPAN mengatakan yang mereka mahu dana kerajaan serta pelabur persendirian yang membeli saham Litrak di Bursa Malaysia untuk menanggung kerugian RM3 bilion?

Apa yang HARAPAN tidak beritahu adalah Najib telah mengarahkan kerajaan membeli sepenuhnya syarikat lebuh raya tol terbesar di Malaysia, PLUS Highways Berhad.

Daripada milik persendirian, kerajaan kini memegang 51 peratus pemilikannya manakala baki 49 peratus milik KWSP.

Syarikat lebuh raya tol kedua terbesar, PROLINTAS Berhad pula dimiliki Perbadanan Nasional Berhad (PNB) melalui pelbagai dana seperti ASB dan Amanah Saham Wawasan (ASW).

Maka manifesto HARAPAN yang berjanji untuk menghapuskan tol di negara ini dalam tempoh lima tahun tidak realistik dan tidak mengambil kira sistem kewangan.

Ia bukan saja akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan tetapi kepada dana persaraan dan pelaburan rakyat. Jika dihitung kerugian keseluruhan berjumlah RM400 bilion.

BN lebih bijak

Selain itu, kebanyakan lebuh raya tol di Malaysia terletak di pantai barat semenanjung yang lebih kaya berbanding Sabah dan Sarawak yang tiada tol.

Maka penghapusan tol bermakna memberi subsidi kepada mereka yang kaya dan pada masa sama menjejaskan golongan berpendapatan rendah di luar bandar, pantai timur semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ini kerana dana persaraan mereka pasti akan menerima kesan daripadanya.

Ia juga akan menyebabkan jurang pendapatan semakin meningkat di Malaysia.

Bandingkan rancangan HARAPAN itu dengan langkah kerajaan yang menghapuskan tol hanya ketika kerajaan mempunyai kemampuan atau tepat pada masanya.

Misalnya penghapusan empat tol pada 1 Januari 2018, iaitu di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL).

Tony berkata benar berhubung perjanjian lebuh raya MEX yang berat sebelah ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan menanggung kos pembinaan sebanyak 76 peratus tetapi syarikat konsesi dibenarkan mengutip tol selama 33 tahun.

Namun amat mengecewakan apabila dia menutup mulut apabila kerajaan Pulau Pinang menganugerahkan perjanjian konsesi berat sebelah bagi projek terowong dasar laut negeri itu.

Kerajaan menanggung sepenuhnya projek bernilai RM3.6 bilion itu tetapi masih membenarkan syarikat konsesi mengutip tol untuk tempoh 30 tahun.

Adakah Tony akan menghentam bosnya, Lim Guan Eng kerana menganugerahkan perjanjian yang lebih berat sebelah daripada apa yang pernah dilakukan Mahathir - calon perdana menteri mereka?

Saya tidak rasa dia akan berbuat demikian.


ERIC SEE-TO merupakan timbalan pengarah komunikasi strategik BN.

Tulisan ini merupakan padangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen