malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR: Turun papan iklan Rosmah tiada kaitan politik
ADS

PRU14 | Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menafikan pihaknya berat sebelah dengan menurunkan papan iklan DAP yang memaparkan isteri perdana menteri sementara Rosmah Mansor.

Pegawai SPR, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan itu berkata suruhanjaya tersebut telah mengarahkan penurunan papan iklan berkenaan kerana Rosmah tidak ada hubungannya dengan pilihan raya.

"Rosmah tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pemilihan.

"Tetapi kita tidak berat sebelah, jika BN atau Harapan melakukan kesalahan, kita akan tegur mereka," kata pegawai itu.

Malam tadi, pihak berkuasa tempatan menurunkan papan iklan yang dipasang calon DAP untuk Parlimen Ayer Hitam, Liew Chin Tong.

Papan iklan itu membawa pesan undi untuk Datuk Seri Wee Ka Siong dari MCA bermakna undi untuk Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah.

Liew mengkritik SPR yang disifatkan beliau berat sebelah kerana mereka tidak mengarahkan penurunan papan iklan yang memaparkan Presiden China, Xi Jinping.

Beliau juga menyoal jika menjadi tugas SPR melindungi isteri pengerusi BN itu.

Pegawai SPR tersebut memberitahu Malaysiakini pihaknya tidak menerima apa-apa aduan tentang papan iklan mengenai Xi.

Apabila terdapat aduan, kita akan siasat, jangan katakan kami berat sebelah.

"Terdapat beratus-ratus jalan di kawasan itu, kita tidak dapat memantau kesemuanya," kata pegawai itu.

Minggu lepas, SPR mengumumkan syarat-syarat tambahan berkenaan bahan kempen, yang antara lain menyatakan hanya imej presiden dan timbalan presiden parti yang boleh diletakkan bersama dengan gambar calon.

Lihat Komen