malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR jual 7,914 borang pencalonan
Diterbitkan:  Apr 27, 2018 11:10 PM
Dikemaskini: 3:19 PM
ADS

PRU14 | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjual 7,914 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga penjualan borang itu ditutup pada 5 petang tadi.

SPR dalam kenyataan hari ini, menyatakan 2,676 daripadanya adalah borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 5,238 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebanyak 199 borang pencalonan dijual di Kuala Lumpur serta Putrajaya dan 295 borang dijual di Sarawak.

Sabah dan Labuan mencatat penjualan borang tertinggi sebanyak 1,262 (383 Parlimen, 879 DUN), diikuti Selangor 824 (238 Parlimen, 586 DUN), Kelantan 801 (197 Parlimen, 604 DUN), Perak 749 (234 Parlimen, 515 DUN) dan Johor 724 (265 Parlimen, 459 DUN).

Di Pulau Pinang, 150 borang pencalonan Parlimen dan 500 DUN dijual, Kedah (162 Parlimen, 375 DUN), Pahang (137 Parlimen, 332 DUN), Negeri Sembilan (78 Parlimen, 310 DUN), Melaka (146 Parlimen, 169 DUN), Terengganu (70 Parlimen, 242 DUN) dan Perlis (39 Parlimen, 179 DUN).

Pusat media SPR

Menurut SPR, 83 borang pencalonan Parlimen dan 88 borang pencalonan DUN turut dijual di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Sementara itu, SPR turut menyediakan pusat media SPR sempena PRU14 di Menara SPR bagi kemudahan petugas media membuat liputan berkaitan PRU14, mulai 28 April hingga 9 Mei depan.

"Pusat media itu akan beroperasi mulai 9 pagi hingga 10 malam bertempat di Aras 1 dan 2, Menara SPR di Putrajaya.

"Semua wakil media cetak dan elektronik dijemput untuk menggunakan kemudahan itu. Bagaimanapun, kemudahan itu terhad kepada maksimum 120 petugas media yang memiliki pas media SPR," menurut kenyataan itu.

Penamaan calon PRU14 ditetapkan esok (28 April) dan pengundian pada 9 Mei, manakala pengundian awal 5 Mei.

Jumlah kerusi dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini masih kekal seperti PRU13, sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.

 

-Bernama

 

Lihat Komen