malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nasib baik pesawat saya tak terhempas kena sabotaj - Dr M
ADS

PRU14 | Menjelang sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pesawat peribadi yang disewa khas telah disabotaj oleh pihak tertentu.

Sebelum itu, Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali berada di Lapangan Terbang Subang dan sudah menaiki pesawat tersebut untuk menuju ke Langkawi bagaimanapun telah dimaklumkan oleh juruterbang bahawa sistem pesawat itu tidak berfungsi.

Menurut Dr Mahathir, juruterbang memaklumkan kepadanya kerosakan tersebut tidak dapat dibaiki dalam masa yang singkat menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meminjam pesawat daripada rakannya bagi meneruskan perjalanan ke Langkawi.

“Saya fikir saya boleh sampai sini selepas sembahyang Jumaat malangnya yang mana (sistem) kapal terbang yang saya nak naik ini bocor (tidak berfungsi).

“Kemudian saya cuba pinjam pesawat kawan-kawan kemudian mereka tidak dapat meminjamkannya kepada saya kerana telah dihalang oleh pihak tertentu tapi syukurlah ada seorang kawan pinjamkan pesawatnya untuk saya sampai ke majlis ini dan sampai ke penamaan calon esok.

“Nasib baik dapat tahu awal kalau tak tahu awal ada kemungkinan kapalterbang tu terbang dan crash,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya ketika program minum petang wanita HARAPAN bersama komuniti Cina dan India di De Baron Resort, Langkawi, hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan telah disabotaj pihak tertentu.

“Ada orang yang rancang ini saya fikir, tak pernah berlaku dalam sejarah saya naik kapalterbang ni sudah beribu kali tapi inilah kali pertama.

“Saya nak naik saja barulah juruterbang bagi tahu bahawa kapal terbang itu rosak dan dia tak boleh terbang dia akan cuba perbetul, baiki tetapi tak dapat,” katanya.

Dr Mahathir merupakan calon parlimen Langkawi bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal berdepan dengan Datuk Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (PAS).

Dr Mahathir berkata beliau telah pun memaklumkan kepada semua pemimpin HARAPAN bahawa pihak tertentu akan melakukan apa sahaja untuk menghalang calon tiba di pusat penamaan calon esok.

“Jadi mereka boleh menang tanpa bertanding, saya telah diberi amaran dan ini akan dilakukan oleh musuh kita tetapi saya tak sangka saya sendiri nak dijadikan mangsa sekatan supaya saya tak dapat sampai ke Langkawi.

Tak buat laporan polis

“Nampak mereka sampai tahap nak jatuhkan kapal terbang sampai nak jatuh mati. Dia takut sampai tahap nak bunuh orang kerana dia nak cari kemenangan.

“Saya yakin rakyat tak suka pemerintah yang guna cara begini untuk memenangi PRU,” katanya.

Menerusi sidang media yang diadakan kemudian, pemimpin 22 tahun itu berkata beliau tidak akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan mendakwa ia tidak akan disiasat.

“Saya tak nak buat laporan polis kerana saya tahu tidak akan ada siasatan dijalankan meskipun saya bercakap benar,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen