malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Ribut tidak hujan pun tidak, tiba-tiba dua minggu lalu Zaid Ibrahim menyebutkan DAP adalah “parti Cina”. Sudah tentu tuduhan Zaid itu agak keterlaluan sehingga boleh menimbulkan tanggapan seluruh orang Cina adalah bersifat perkauman.

Kaum Cina di negara ini tidak boleh dipersalahkan! Kalau pun masih wujud sentimen perkauman Cina, sudah tentu dua parti yang patut dipersalahkan ialah MCA dan DAP. Samalah kalau wujud perkauman Melayu, Umno dan PAS lah yang wajib dipersalahkan.

Kata-kata yang mungkin lebih tepat ialah DAP itu adalah 'parti cauvanis'. Namun kata-kata sebegitu bukanlah pertama kali kedengaran. Sudah banyak pihak sama ada di dalam atau di luar gabungan pembangkang menyebutkannya tuduhan yang sama, meski bukan di kalangan ahli DAP sendiri.

Kalau hari ini Zaid berani melontarkan bahawa 'DAP ialah parti cauvanis', mungkin inilah kali pertama seorang yang masih menjadi anggota DAP telah berani menyebutkannya. Bukan oleh orang luar.

Dalam kata lain, DAP tidak lebih baik daripada MCA yang sekian lama memainkan sentimen perkauman Cina untuk mendapat sokongan asas kaum Cina. DAP hari ini hanyalah sebagai MCA 2.0, atau 'the other side of coin' kepada MCA sahaja.

Tuduhan sedemikian bukanlah tuduhan tanpa fakta. Senarai barisan pimpinan pusat DAP sepertimana yang disahkan pendaftar pertubuhan (ROS) beberapa bulan lalu adalah bukti jelas tentang semangat cauvanistik yang wujud di dalam dada elit DAP.

Kebencian melampau pemimpin DAP bukan sahaja terhala kepada pemimpin Melayu yang mereka lawan seperti Umno dan PAS, tetapi kebencian melampau itu juga mulai merebak kepada banyak lapisan masyarakat Melayu.

Bagi pemimpin elit yang menguasai DAP, nama Melayu itu sendiri adalah sesuatu yang membuatkan kulit mereka gatal-gatal. Elit DAP tidak akan membiarkan kepimpinan Melayu duduk lebih tinggi daripada mereka sekiranya mereka merasakan bahawa pemimpin Melayu itu tidak boleh dipergunakan.

Elit DAP telah menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat kuasa di Pulau Pinang dan menguasai banyak kerusi di banyak negeri, kini DAP sedang berusaha pula untuk menggunakan imej Tun Dr Mahathir Muhamad bagi sekurang-kurangnya mengekalkan saiz kuasa yang ada.

Selain pemilihan parti yang didominasi elit dari kem anak-bapa, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang, nama pemimpin Melayu DAP yang diangkat sebagai calon PRU kali ini adalah sangat kecil.

Daripada keseluruhan 152 kerusi sama ada di peringkat parlimen dan DUN, hanya 10 muka Melayu yang diketengahkan, atau bersamaan tak sampai 5 peratus pun!

Sepuluh muka Melayu itu yang ditayang dan diusung ke seluruh negara tidak lebih adalah sebagai 'poster girl' atau 'poster boy' bagi menunjukkan kononnya DAP parti yang mengangkat kemimpinan Melayu.  Sekiranya poster itu dikoyakkan, yang kelihatan adalah wajah sebaliknya.

Apabila perkara sebegini dipersoal, jawapan biasa yang diberikan ialah, jumlah Melayu yang kecil di dalam DAP tidak membolehkan lebih ramai calon Melayu dipilih. Oleh itu menurut segelintir ‘pakar propaganda upahan DAP’, lebih ramai Melayu perlu menyertai DAP.

Semua itu hanyalah alasan untuk mengelak atau menutup masalah sebenar. Jumlah Melayu yang berada di dalam DAP sejak tiga-empat tahun lalu sebenarnya adalah jauh lebih besar atau mungkin sahaja yang teramai di dalam sejarah DAP ditubuhkan pada 1965.

Dalam PRU 1974, DAP meletakkan 38 calon Melayu. Dalam PRU 1978 pula, 57 calon Melayu menjadi calon DAP. Mustahil pada dua kali PRU selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 itu, jumlah orang Melayu yang menyertai DAP lebih ramai berbanding hari ini.

Persoalannya bukan DAP tidak cukup ahli atau tokoh Melayu, tetapi elit yang menguasai parti itu memang tidak berminat untuk mengangkat tokoh Melayu yang berwibawa. Elit DAP dilihat tidak sanggup untuk bersaing secara terbuka walaupun kononnya mereka mahukan persaingan yang lebih adil di dalam politik dan ekonomi.

Seperti biasa, jalan mudah yang dilakukan ialah mencantas bakat-bakat kepimpinan Melayu di dalam DAP agar Melayu menjadi lemah.

Begitulah akhirnya yang terjadi bukan sahaja kepada tokoh seperti Zaid atau Dr Aziz Bari (gambar), malah ramai lagi tokoh Melayu yang berwibawa yang dicantas ketika meniti anak tangga parti.

Nama-nama ‘tokoh’ Melayu yang diangkat hanyalah anak-anak hingusan yang kelihatannya kemaruk populariti, asalkan bertanding walhal boleh ‘dipicit telur’ oleh naga-naga elit DAP. Majoriti calon Melayu-DAP itu juga diberikan kerusi tidak selamat atau kalah.

Mustahil helah berkenaan masih tidak disedari oleh umumnya pimpinan di dalam HARAPAN seperti di kalangan orang PKR, AMANAH dan BERSATU. Namun nampaknya mereka tak ada daya dan tak ada pilihan selain terpaksa menelan sahaja demi menyelamat dan menjaga imej HARAPAN.

Menyedari tembelang sudah retak, jalan yang ada bagi DAP ialah mengepung pengundi Cina untuk kekal bersama mereka. Di dalam pembahagian kerusi antara parti-parti di dalam HARAPAN, DAP sudah mencapai matlamat tersebut.

Semua 'kerusi Cina' kini berada di dalam genggaman DAP. Penguasaan itu sekaligus menggagalkan matlamat PKR untuk menjadi sebuah parti bagi semua kaum untuk masa depan Malaysia.

Langkah kedua yang mungkin akan dilakukan DAP ialah berusaha untuk kekal di Pulau Pinang dengan mengecilkan kuasa parti-parti HARAPAN yang lain. Kebetulan DAP telah diperuntukkan kerusi DUN terbanyak iaitu 19 kerusi dan seperti dalam PRU ke-13, DAP dijangka menang kesemua kerusi tersebut.

Dalam waktu sama, DAP juga sudah menyiapkan calon timbalan ketua menteri (TKM) Melayu mereka sendiri iaitu Zairil Khir Johari yang dipindahkan daripada kerusi parlimen Bukit Bendera ke DUN Tanjong Bungah. Permainan politik tokoh PKR seperti Datuk Saifuddin Nasution yang bercita-cita menjadi TKM 1 juga hanya tinggal cita-cita jangka masa yang singkat dan ibarat telur di hujung tanduk kalau beliau sendiri tidak menyertai DAP.

Sekiranya ada apa yang berlaku yang boleh menjejaskan hubungan DAP dengan HARAPAN, DAP sebenarnya telah mempersiapkan diri untuk kekal mentadbir Pulau Pinang secara sendirian.

Dengan 19 kerusi yang ada dalam tangan, DAP hanya perlu memancing dua-tiga wakil rakyat Cina dari PKR atau Melayu dari parti mana pun yang mereka yakin boleh ‘dibeli’. Hanya perlu dua-tiga orang sahaja!

Maka daripada apa yang menimpa Zaid, jumlah 10 Melayu yang diangkat dalam PRU kali ini dan realiti politik Pulau Pinang, sekaligus membuktikan bahawa projek 'Melayu-DAP' yang kononnya digerakan hampir sedekad lalu adalah projek yang gagal.

Idea "Malaysian Malaysia” itu pun hanyalah sandiwara lapuk yang sudah tiada lagi pengikut dan peminatnya.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen