malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
HARAPAN tak bincang calon pengganti MB T'ganu
ADS

Pakatan Harapan Terengganu hari ini mengakui gabungan parti pembangkang itu tidak pernah membincangkan soal siapa calon yang akan dinamakan sebagai menteri besar di negeri itu.

Sebaliknya, Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata apa yang lebih penting dan menjadi perkiraan HARAPAN kini adalah memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) terlebih dahulu.

“Saya rasa perkara itu tidak timbul dan bukan menjadi satu perkiraan kepada kami gabungan parti pembangkang sekarang, tetapi apa yang berlaku atas keperluan HARAPAN yang perlu ditangani dan calon menteri besar itu bukan isu yang perlu kita tangani waktu sekarang.

“Apa penting kita akan pastikan kita HARAPAN menang terlebih dahulu.

“Kita memang ada harapan yang agak realistik untuk menang kerana saya tengok sembilan hingga 12 bulan lepas banyak perubahan telah berlaku, bukan dikalangan ahli Umno tetapi dikalangan PAS sendiri dengan tertubuhnya HARAPAN,” katanya.

Raja Bahrin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis oengisytiharaan calon HARAPAN Terengganu bagi PRU14 di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau mengulas siapakah calon menteri besar Terengganu sekiranya HARAPAN berjaya merampas negeri itu dari tangan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ditanya kemungkinan HARAPAN sedia membentuk kerajaan bersama PAS atau BN, Raja Bahrin berkata ia hanya spekulasi yang tidak mungkin berlaku.

“Saya rasa itu satu spekulasi kerana ini mungkin akan menjadi satu perkara merumitkan dan mengelirukan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris berkata fokus utama gabungan itu ialah memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menjadi perdana menteri berbanding membincangkan isu siapa menteri besar negeri itu.

“Sebenarnya kedudukan siapa menteri besar kita putuskan selepas pilihan raya. Kita tak pernah bincang yang kita bincang sekarang,” katanya ketika sidang media sama.

Lihat Komen