malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Raja Bahrin: Umno bagi anak Hadi laluan mudah
ADS

PRU14 | Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu mendakwa Umno-BN sengaja memberi laluan mudah kepada calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada pilihan raya umum akan datang pada 9 Mei depan.

Pengerusi HARAPAN negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata Umno-BN secara jelas tidak menurunkan lawan yang sepatutnya untuk berdepan dengan anak presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi di DUN tersebut.

“Saya agak hairan juga kenapa BN meletakkan calon yang agak kurang dikenali di kalangan orang ramai kerana mereka tahu akan menghadapi pertandingan dengan anak Hadi sendiri.

“Saya rasa ia seolah-olah Umno mahu memberi laluan mudah.

“Kenapa tidak ada tentangan hebat untuk Umno bagi berdepan dengan anak presiden sendiri,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengisytiharaan Calon HARAPAN Terengganu bagi PRU14 di Kuala Terengganu, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu berkata demikian ketika mengulas berkenaan pencalonan beliau di DUN Batu Buruk yang dikatakan dibuat bagi membolehkan dirinya dilantik sebagai menteri besar Terengganu jika HARAPAN berjaya menawan negeri itu.

DUN Batu Buruk akan menyaksikan persaingan sengit tiga penjuru antara BN, PAS dan HARAPAN yang diwakili AMANAH pada PRU 14.

Yang mana PAS akan mempertaruhkan anak presidennya, Muhammad Khalil yang juga Ketua Pemuda PAS dengan calon BN, Zambri A Hitam dan Raja Kamarul sendiri.

Mengulas lanjut, calon AMANAH bagi kerusi DUN Batu Buruk itu berkata langkah BN meletakkan calon kurang dikenali orang ramai itu disifatkan beliau sebagai hanya pertandingan persahabatan antara kedua parti itu.

'Orang Umno sendiri kecewa'

“Saya rasa ramai orang anggap ia seolah-olah satu pertandingan persahabatan antara Umno dengan PAS.

“Dan saya rasa orang Umno-BN sendiri merasa kecewa adakah Umno ketandusan calon bagi menghadapi anak presiden (PAS),” katanya.

Kata Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu, BN seharusnya memperlihatkan pertandingan sengit di kerusi DUN Batu Buruk itu.

“Sekurang-kurangnya bagilah satu pertandingan yang agak sengit macam kita tengok perlawanan bola yang berat sebelah.

“Sekurang-kurangnya bagilah satu kerancakan dalam pertandingan tersebut,” katanya.
 

Lihat Komen