malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 l Penyandang kerusi parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng, berjanji menambah kuota jemaah umrah bagi penduduk di kawasan itu jika pengundi memenangkannya sekali lagi.

Kata Wee, program bantuan ke tanah suci itu dimulakan sejak 2016 dengan menghantar 10 lelaki mengerjakan ibadah berkenaan.

Justeru kata bekas timbalan menteri belia dan sukan itu jika dia kekal memenangi kerusi Tanjung Piai, tahun depan kuota mengerjakan umrah berkenaan akan ditambah.

"Syarat yang diperlukan untuk mendapat bantuan ini ialah, mereka tidak pernah pergi dan tidak mampu pergi mengerjakan umrah, serta berusia 60 tahun ke atas.

"Kalau saya dipilih semula, saya akan tambah lagi 10 kuota untuk wanita," katanya semasa merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Agama Parit Patah dan Parit Kudus, hari ini.

Tanjung Piai ialah kawasan yang terletak kira-kira 50km dari Johor Bahru dan menjadi penghujung benua Asia. Ia terletak di bawah mukim Kukup.

Asalnya kawasan parlimen di sini dikenali sebagai Pontian. Pada 2003 Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan persempadanan semula dan ia dipecahkan menjadi Pontian dan Tanjung Piai.

Pada PRU ke-13 lalu Wee, 54, mengalahkan calon DAP, Mahdzir Ibrahim dengan majoriti 5,457 undi.

Tanjung Piai mempunyai 51,875 pengundi berdaftar ketika itu dan 53 peratus daripadanya ialah Melayu, diikuti Cina 44 peratus dan India 1.8 peratus.

Untuk PRU ke-13 pada 9 Mei ini Wee dijangka akan berdepan cabaran daripada calon BERSATU, Dr Md Farid Md Rafik.

Menurut Wee yang juga pemimpin MCA Johor, melalui bantuan umrah itu pihaknya membiayai semua kos perbelanjaan individu terpilih termasuk tambang perjalanan, penginapan serta makan minum.

Kos bagi setiap seorang katanya dianggarkan bernilai RM10,000.

"Saya sudah tubuhkan sebuah jawatankuasa dianggotai tok-tok penghulu untuk memilih individu berkelayakan dan mencadangkan nama mereka," katanya.

Lihat Komen