malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Di lubuk PAS Zarina bertekad ubah wajah DUN Mohd Amar
ADS

PRU14 l Berkali-kali gagal ditawan, kali ini BN menukar strategi dalam usaha mereka menembusi salah satu kubu terkuat PAS di Kelantan - Panchor.

Disandang pemimpin kanan PAS dan Kelantan, BN memilih seorang wanita bagi menggalas cabaran berkenaan.

Kali ini Zarina Eusope ditunjuk kepimpinan parti untuk mencabar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang memenangi kerusi itu dengan kelebihan 5,036 undi lima tahun lalu.

Zarina, 47, ialah Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa.

Ditanya mengenai pencalonannya, Zarina berkata dia menyambut kepercayaan yang diberikan BN secara positif namun menyedari dia adalah wanita pertama bertanding bagi kerusi tersebut.

Menurutnya, walaupun berdepan cabaran getir senario politik semasa dilihat mampu memberi ruang untuknya bersaing sekali gus menundukkan Mohd Amar yang bertakhta di situ sejak tiga penggal lalu.

"Saya nekad untuk mengubah wajah DUN Panchor kepada keadaan yang lebih baik berbanding sekarang.

"Selepas 28 tahun PAS memerintah Kelantan rakyat di sini juga boleh rasa tiada perubahan besar yang berlaku.

"Malah pembangunan di sini banyak disumbangkan kerajaan persekutuan dalam pelbagai sektor, " katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Harap sokongan rakyat

Sebagai rekod pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Mohd Amar menewaskan calon BN, Che Rosli Hassan dengan kelebihan undi lebih besar.

Pada PRU ke-12 naib presiden PAS itu memenangi kerusi Panchor dengan majoriti 3,437 undi. Empat tahun sebelumnya - iaitu pada 2004 - Mohd Amar memenangi kerusi Panchor dengan majoriti undi 2,085 undi.

Panchor terletak di bawah kawasan parlimen Pengkalan Chepa - juga satu daripada kubu kuat PAS di peringkat parlimen.

Selain Zarina dan Mohd Amar, Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka menempatkan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hazmi Hassan untuk bersaing di kerusi tersebut.

Sementara itu, Zarina yang juga ketua penerangan Wanita Umno negeri berkata, beliau akan memberikan fokus sepenuhnya untuk usaha meraih undi dalam tempoh berkempen.


Baca Ibu bersalin dapat cuti 2 tahun jika Mohd Amar jadi PM


Katanya, antara agenda yang diberi keutamaan adalah bagi memperkasakan potensi wanita setempat di samping meneroka pembangunan setempat.

"Saya lihat DUN Panchor mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan. Antaranya saya memperkenalkan pasar terapung di pinggir Sungai Pengkalan Datu.

"Insya-Allah dengan kerja-kerja yang kita buat sejak sekian lama memberi hasil positif dan saya pastinya mengharapkan sokongan rakyat untuk meneruskannya, " katanya.

Lihat Komen