malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Calon Umno masih boleh tanding walau parti dicabar'
ADS

Penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun menegaskan calon BN masih boleh menghantar borang pencalonan mereka Sabtu ini walaupun dengan kes mahkamah yang mencabar kesahan parti itu.

Beliau berkata Datuk Seri Najib Razak menandatangani watikah calon atas kapasitinya sebagai pengerusi BN dan bukannya presiden Umno.

"Calon yang bertanding pada PRU 9 Mei ini mewakili BN selaku gabungan 13 parti, bukannya mewakili parti sendiri.

"Maka, tanggapan pihak tertentu termasuk pembangkang bahawa BN tidak boleh bertanding pada PRU ke-14 tidak betul," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui keputusan muktamad berhubung kelayakan mereka yang menghantar borang pencalonan terletak di tangan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Hafarizam ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mahkamah hari ini mendengar penghujahan peguam yang mewakili 16 anggota Umno yang 'dipecat' dan juga ROS.

Kumpulan itu memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan Umno menangguhkan pemilihan parti sehingga April tahun depan.

Mereka juga menuntut pembubaran Umno kerana gagal melakukan pemilihan parti selama kira-kira lima tahun, melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu tiga tahun.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen