malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Memori pil kuda jadi iktibar PKR Terengganu saring calon
ADS

PKR Terengganu yang bakal bertanding di 11 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei ini bimbang parti-parti yang bertanding lawan menabur fitnah.

Mengimbas apa yang berlaku pada PRU13 lalu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, fitnah yang dilemparkan itu datang daripada sekutu mereka sebelum ini, iaitu PAS.

"Kita difitnah oleh (Presiden PAS Datuk Seri) Haji (Abdul) Hadi (Awang) dalam pilihan raya lepas.

"Kita difitnah begitu dasyat dengan dilemparkan fitnah menjual pil kuda dan terlibat dalam pengedaran pil kuda.

"Jadi episod pahit ini menjadi fobia kepada kita, betul-betul fobia kepada kita untuk masuk pilihan raya,” kata Azan kepada Malaysiakini.

Azan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana penelitian PKR dalam memilih calon-calonnya untuk PRU14, kali ini.

Isu pil kuda dikaitkan dengan calon PKR yang mewakili Pakatan Rakyat di ambang PRU13.

Ketika itu, Abdul Hadi menarik perhatian rakan dan musuhnya apabila menuduh calon PKR untuk kawasan DUN Bukit Besi, Shamsul Mat Amin, seorang pengedar pil kuda.

Shamsul kemudian menyaman Abdul Hadi. Proses mahkamah bagaimanapun membebaskan pemimpin PAS berkenaan daripada tuduhan memfitnah.

Mengulas lanjut isu pil kuda itu, Azan berkata beliau yakin apa yang terjadi pada PRU lalu adalah aturan terbaik maha kuasa kepada PKR.

Katanya, sebagai orang Islam dan selaku individu paling disegani kerana berpengetahuan luas dalam hukum hakam agama, Abdul Hadi seharusnya membuat permohonan maaf kepada mereka yang dikaitkan itu.

"Saya tak memaksa tetapi saya menyebut perkara ini kerana sudah tentu peristiwa itu berlaku semasa hampir dengan pilihan raya, saya yakin setiap kali musim pilihan raya perkara ini akan diingati semula oleh rakyat.

“Cuma pada pandangan saya adalah elok sebagai tokoh agama yang sudah tentu faham secara mendalam tentang hukum hakam ini bahawa melakukan fitnah secara terbuka yang boleh mendatangkan mudarat yang besar kepada mangsa yang difitnah adalah tidak baik dan dosanya tidak terampun selagi tidak dimaafkan oleh mangsa yang difitnah,” katanya.

Bagi Azan, episod pahit itu akan sentiasa menjadi peringatan kepada PKR.

"Tapi tak apalah yang penting pengajaran kepada dia bukan kita (PKR).

"Kita tidak akan memandang ke belakang dan kita akan terus berjalan teruskan perjuangan dengan membuat kerja yang telah lama ditinggalkan oleh pemerintah,” katanya.

Azan berkata, disebabkan episod pahit itu juga PKR kini lebih teliti dalam memilih calon mereka dan bukan sekadar tangkap muat.

"Tidak sama sekali (tangkap muat), kita membuat pemilihan yang begitu ketat malah ada calon yang kita gugurkan di saat-saat akhir kerana timbul masalah keberhutangan, bukan insolvansi atau bankrap tetapi dia berhutang.

"PKR hanya membawa calon yang bersih dan berwibawa, sebab PKR antara parti yang banyak melalui episod pahit berbanding rakan kita BERSATU dan AMANAH mereka telah banyak kali masuk pilihan raya,” tambahnya.

Selain PKR, sekutunya, AMANAH pula akan bertanding di 11 daripada 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga daripada lapan parlimen.

Baki 10 kerusi DUN dan tiga parlimen lagi diserahkan kepada parti serpihan Umno, BERSATU.

Lihat Komen