malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib agak optimis BN akan menang
Diterbitkan:  Apr 26, 2018 11:37 AM
Dikemaskini: 3:41 AM
ADS

PRU14 | Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib “agak optimis” BN akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini dan menjangkakan mereka akan mencapai "keputusan yang lebih baik".

Dalam temu bual dengan Bloomberg, Najib berkata beliau tidak melihat kemungkinan perubahan dalam kerajaan atau kejayaan besar buat BN.

"Kami agak yakin akan capai keputusan baik... Tidak ada pergerakan bahawa kerajaan akan berubah, saya tidak melihatnya.

"Itu tidak bermakna bahawa kita akan menang dengan majoriti besar, saya tidak akan meramalkan sedemikian, tetapi saya akan berkata bahawa kita optimis tentang keputusan itu," katanya.

Najib, 64, telah menerajui BN sejak April 2009 tetapi ujian pertamanya pada pilihan raya umum 2013 menyaksikan kerusi Parlimen gabungan itu semakin berkurangan berbanding tahun 2008.

Dalam wawancara pertamanya dengan sebuah agensi berita asing dalam tempoh tiga tahun, Najib memberitahu Bloomberg bahawa gabungan pembangkang, Pakatan Harapan akan kecundang tanpa kerjasama dengan PAS, tidak seperti pada tahun 2013.

Beliau juga meramalkan bahawa pengundi Cina tidak lagi bermotivasi untuk menyokong pembangkang, seperti sebelum ini.

"Hari ini, mereka sedar tidak mungkin (untuk menukar kerajaan)," kata Najib. "Jadi saya fikir bahawa keghairahan itu sudah banyak berkurangan."

Najib berkata BN akan memberi tumpuan kempen mereka kepada Sarawak, Sabah, Kedah dan Johor yang pada tahun 2013 agak padu menyokong BN.

Laporan itu menyebut bahawa negeri-negeri berkenaan menumbangkan satu pertiga kerusi BN pada tahun 2013.

Lihat Komen