malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PRU14 l Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujudnya pertembungan puak dalam partinya.

Beliau menegaskan hanya ada satu kem dalam parti itu.

"Bagi kami, hanya ada satu kem - kem saya," katanya pada sidang media selepas taklimat calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Petaling Jaya hari ini.

Beliau mendakwa BN mencetuskan persepsi wujudnya perpecahan dalam PKR yang dikatakan menjadi punca kepada kemelut calon parti itu di Selangor mutakhir ini.

"Itu yang diperkatakan. Itulah persepsinya dan tentulah BN akan cetuskan perselisihan," katanya yang juga penyandang kerusi DUN Kajang.

Mutakhir ini kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan membayangkan perpecahan dalam parti ekoran isu senarai calon.

Timbul juga spekulasi naib presidennya Tian Chua akan meletakkan jawatan, namun penyandang kerusi Parlimen Batu itu menegaskan beliau kekal komited bersama PKR.

Namun beliau menasihatkan Wan Azizah dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tunduk dengan kepentingan kem tertentu dalam menentukan calon.

Semalam, Wan Azizah menyifatkan dirinya sebagai ibu kepada "anak-anak ramai dengan pelbagai kerenah" dan meminta mereka tidak berpecah-belah dan mengenepikan kepentingan masing-masing sebelum PRU ke-14.

Lihat Komen