malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin: Pintu rundingan calon PKR masih terbuka
Diterbitkan:  Apr 23, 2018 8:30 PM
Dikemaskini: 12:41 PM
ADS

PRU14 | Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah bertemu dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kemelut berkaitan senarai calon parti itu pada pilihan raya umum kali ini.

Pertemuan itu dipercayai berlaku di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Menurut akhbar Nanyang Siang Pau, Azmin menafikan tahu mengenai spekulasi PKR akan mengumumkan calonnya di Stadium Kuala Selangor malam ini.

"Senarai calon yang tersebar itu tidak benar.

"Dengan kata lain, jika perbincangan selesai malam ini kita boleh umumkannya. Namun setakat pengetahuan saya (program) malam ini hanya aktiviti kempen," katanya.

Walaupun hari penamaan calon pada Sabtu ini, menteri besar sementara Selangor itu berkata masih ada ruang berbincang mengenai perkara itu.

"Berdasarkan prosedur, cabang akan mencadangkan calon kepada negeri, dan negeri akan memberi nama itu kepada kepimpinan pusat.

"Saya telah berjumpa presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) minggu lalu. Pagi ini saya berbincang dengan Anwar," katanya lagi.

Azmin juga menyatakan masih ada ruang untuk berbincang mengenai status penyandang Parlimen Batu Tian Chua dan penyandang DUN Rawang Gan Pei Nei.

Beliau tidak pasti tentang surat layang yang disebut Gan pada sidang media hari ini, yang menurutnya sebab beliau digugurkan sebagai calon.

Ketika sidang media tadi, Gan dengan sebak mendakwa surat itu - yang menuduhnya menyalah guna peruntukan untuk kawasannya - adalah dari dalam PKR sendiri.

Beliau turut mengalu-alukan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tuduhan itu.

Tian berkata Anwar dan Wan Azizah tidak sepatutnya tunduk terhadap tekanan demi mengekalkan kesatuan PKR.

Kemelut ini dispekulasi tercetus daripada pertembungan antara kem Azmin dan naib presiden Rafizi Ramli.

Lihat Komen