malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin: Bantah Dr M guna logo PKR tindakan tak relevan
Diterbitkan:  Apr 22, 2018 3:44 PM
Dikemaskini: 8:27 AM
ADS

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengecam langkah sesetengah pihak dalam parti itu yang membantah Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan logo PKR pada PRU ke-14.

Beliau menyifatkan mereka sebagai "tidak bertanggungjawab, tidak relevan dan tidak menghormati" keputusan kepimpinan untuk membenarkan calon daripada parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) menggunakan logo 'mata biru' parti itu.

"Mereka patut fokus membantu calon pembangkang memenangi pilihan raya," katanya kepada pemberita di Pinang Tunggal, Pulau Pinang.

Menurut laporan Bernama, kira-kira 50 anggota PKR mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam kerana membantah pengunaan logo parti oleh Mahathir.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Bukit Gantang Muhamad Faisal Zainal mendakwa sejumlah 120,000 anggota parti kecewa dan membantah keras langkah itu.

"Perlu diingat PKR ditubuhkan pada 1999 ekoran kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau memberi masa enam hari kepada kepimpinan parti untuk membatalkan langkah itu jika tidak mahu mereka mengambil langkah drastik, seperti perletakan jawatan beramai-ramai.

Anggota PKR Sabak Bernam M Veerappan pula menyifatkan keputusan itu sebagai penghinaan kepada semua anggota parti yang sudah bersama-sama sejak ia ditubuhkan pada 4 April 1999.

Diupah pihak tertentu

Azmin mempertahankan Mahathir dan berkata bekas perdana menteri itu mempunyai peranan dalam PRU kali ini.

"Kami akan bersama-sama membentuk pasukan kuat untuk melawan BN dan saya menggesa mereka juga berbuat begitu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Otai Reformis 1998 Khairul Anuar Othman (gambar) dalam kenyataan hari ini mendakwa demonstrasi itu bukan dianjurkan oleh akar umbi parti seperti yang dicanang.

Katanya, peserta diupah oleh pihak tertentu yang mahu memburukkan nama PKR dan gerakan Reformasi.

"Otai Reformis akan tetap berdiri teguh bersama pimpinan parti dan HARAPAN dalam menghadapi PRU ke-14," katanya lagi.
 

Lihat Komen