Pengiklanan

    2 adik bekas pemimpin Dewan Ulama PAS sertai AMANAH

    (Dikemaskini )

    PRU14 |  Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mengemukakan surat peletakan jawatan serta-merta hari ini dan membayar pampasan sebulan gaji semata-mata untuk menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

    Kemasukan Sanusi Othman - yang juga adik kepada bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Allahyarham Yahya Othman - diumumkan Naib Presiden AMANAH Husam Musa di Kota Bharu hari ini.

    Kata Husam Sanusi sanggup membayar pampasan sebulan gaji kepada PMBK semata-mata untuk bersama HARAPAN.

    "Pada hari ini beliau meletak jawatan secara rasmi daripada PMBK, dan telah diterima dengan senang hati - atau susah hati - oleh kerajaan Kelantan," katanya.

    Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan memberitahu sebelum ini Sanusi pernah berkhidmat sebagai pegawai Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tetapi "disingkirkan" dipercayai ada kaitan dengan pendedahan pernah dibuat mengenai syarikat berkenaan.

    Kata Husam, dengan penyertaan Sanusi bersama AMANAH, HARAPAN Kelantan bercadang memilihnya sebagai seorang daripada calon mereka untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 ini.

    "Kami pimpinan AMANAH Kelantan berbincang untuk mempertimbangkan beliau sebagai salah seorang calon HARAPAN di DUN yang akan kita umumkan kemudian, " katanya.

    Menurut Husam HARAPAN Kelantan bangga dengan penyertaan Sanusi, 48, yang membuat keputusan itu selepas lima tahun menjadi pegawai kanan dalam PMBK.

    Katanya Sanusi melihat kerajaan Kelantan di bawah PAS tidak lagi relevan untuk terus mentadbir negeri itu dengan cekap, telus, bersih serta berkesan.

    "Kerana itu beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan dalam tempoh 24 jam demi melakukan perubahan bersama rakyat Kelantan," katanya.

    Sementara itu, Sanusi berkata penyertaan beliau itu dibuat demi membantu HARAPAN membentuk kerajaan lebih berkesan dan berintegriti.

    "Bagi saya semua orang boleh buat kerja dan ada kepandaian, tetapi yang paling utama ialah integriti, " katanya ringkas.

    Sementara itu Husam juga mengumumkan seorang lagi adik Allahyarham Yahya turut menyertai AMANAH secara rasmi hari ini.

    Kata Husam tokoh itu ialah Abdul Majid Othman.

    "Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai daerah Kuala Krai," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih