malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN | Selesai pengumuman nama-nama calon PAS yang akan membawa panji parti itu untuk menawan Putrajaya malam tadi, berdebar-debar benar rasa hati ini.

Pengumuman itu yang dibuat di semua negeri - kecuali Kelantan, Sabah dan Sarawak - adalah bukti iltizam PAS mahu membawa politik matang dan sejahtera buat kira-kira 30 juta umat Malaysia.

Mendengar nama-nama itu dikumandangkan, bulu roma pun berdiri. Lalu dalam kepala ada lagu bergema secara tiba-tiba.

Bukan. Lagu itu liriknya bukan seperti yang kamu sangka.

"Bersatulah wahai kaum muslimin
dengan semangat dan roh kebenaran
berjihadlah wahai kaum muslimin
walau susah menempuh cabaran
."

Tetapi entah di mana silapnya, lagu yang bergema secara tiba-tiba itu lebih nakal - tapi tetap bersemangat.

"Di setiap ada kamu
mengapa jantungku berdetak
berdetaknya lebih kencang
seperti genderang mau perang

Di setiap ada kamu
mengapa darahku mengalir
mengalir lebih cepat
dari hujung kaki ke hujung kepalaaa
."

Jangan cepat melenting, apa lagi curiga. Barangkali ungkapan "genderang perang" itulah yang mencetuskan lagu Dewa 19 berkenaan.

Namun lebih penting daripada itu kita melihat PAS cukup bersedia daripada segenap segi untuk turun ke medan perang pilihan raya kali ini.

PAS mempunyai sumber yang banyak.

Apa yang sudah diperkatakan atau dilakukan parti itu setakat ini membuktikan mereka benar-benar serius mahu berpolitik matang dan sejahtera.

Kecuali esok kiamat

Andainya tidak membawa slogan itu pun, musuh politik PAS sepatutnya perlu bimbang. Dan dengan gabungan iltizam PAS, ditambah dengan dasar yang sangat mempersona itu, layak sangatlah BN berasa gerun dan goyang.

Jika selepas Ibrahim Mat Zin mengumumkan mahu bertanding di Bagan Datok mendorong Datuk Seri Najib Razak melawat Teluk Intan, gerun yang diuar-uarkan PAS malam tadi sepatutnya membuat semua pemimpin BN tidak boleh tidur lena.

Setakat hari ini PAS sudah mengumumkan hampir 130 nama untuk menawan kerusi parlimen di semenanjung. Calon-calon di Kelantan belum diumumkan.

Di negeri Cik Siti Wan Kembang itu cuma ada 14 kerusi parlimen. Diandaikan dunia belum kiamat esok, PAS tentu akan meletakkan tokoh mereka di setiap kerusi yang ada.

Namun PAS masih ada ruang untuk meletakkan calon mereka di lebih 20 kerusi lagi untuk menggenapkan jumlah "lebih sedikit lagi" daripada 160 kerusi.

Iltizam PAS mahu bertanding di lebih daripada 160 kerusi itu dibuat oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia adalah cakap yang boleh dipegang.

Cuma untuk langkah berjaga-jaga kita perlu ingat bekas pensyarah universiti berkenaan cuma seorang "Tuan" sedangkan presiden PAS ada lebih daripada itu.

Presiden PAS ada tambahan "guru" pada panggilan namanya. Beliau juga ada "seri".

Peluang PAS di Johor

Bukankah sejak sekian lama penyandang anggota parlimen Marang itu dirujuk sebagai Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang? Justeru, apa saja boleh berlaku.

Untuk menganalisis satu demi satu kerusi yang ditandingi PAS pada PRU ke-14 ini tentulah agak mustahil dapat dilakukan dalam satu tulisan.

Bagi menilai dan menghargai langkah politik PAS dalam PRU kali ini, kita memerlukan satu kajian mendalam. Penyelidikan itu pula boleh bertaraf tesis untuk ijazah doktor falsafah.

Cuma ada beberapa aspek yang tetap menarik perhatian dan menonjol. Antaranya ialah penyertaan tokoh ulama disegani, Mokhtar Senik, di kerusi Parlimen Padang Besar.

Begitu juga beberapa kerusi lain yang membayangkan keyakinan PAS untuk menjadi kerajaan. Misalnya di Johor, PAS meletakkan calon di Kulai - sebuah kawasan yang sangat berpotensi dikuasai parti itu.

Pada PRU lalu Kulai dimenangi Teo Nie Ching (DAP) dengan majoriti 13,450 undi ketika komposisi pengundi menunjukkan orang Melayu begitu dominan iaitu 33 peratus berbanding Cina (56 peratus).

Ada beberapa kerusi lain yang mempunyai komposisi sama ditanding PAS. Antaranya:

  • Bayan Baru (Melayu: 39 peratus, Cina 49 peratus, India 11 peratus)
  • Sungai Siput (Melayu 33 peratus, Cina 39 peratus, India 21 peratus)
  • Teluk Intan (Melayu 38 peratus, Cina 42 peratus, India 19 peratus)
  • Bentong (Melayu 45 peratus, Cina 44 peratus, India 9 peratus)
  • Klang (Melayu 32 peratus, Cina 46 peratus, India 20 peratus)

Pada masa sama PAS mempunyai strategi tersendiri untuk tidak meletakkan calon di kerusi yang dirasakan tidak penting. Antaranya:

  • Sembrong (disandang Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menang dengan majoriti 10,631 undi. Populasi: Melayu 58 peratus, Cina 31 peratus, India 9 peratus)
  • Pengerang (disandang Datuk Seri Azalina Othman Said yang menang dengan majoriti 22,508 undi. Populasi: Melayu 88 peratus, Cina 10 peratus, India 1 peratus)
  • Johor Bahru (disandang Tan Sri Shahrir Samad yang menang dengan majoriti 10,134 undi. Populasi: Melayu 51 peratus, Cina 43 peratus, India 5 peratus)

Ia adalah selaras dengan ikrar Tuan Ibrahim pada November 2015 lalu. Kata beliau, sebagai parti yang memperjuangkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya nilai hidup Islam, PAS akan berusaha menyingkirkan Umno.

Kata Tuan Ibrahim PAS tetap menentang Umno walaupun ada tuduhan yang mendakwa sebaliknya.

“Semuanya usaha dan jihad bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi.

“Di atas inilah PAS berusaha membuang Umno daripada tampuk pemerintahan kerana kerosakan yang dibawanya dan juga budaya rasuah yang sudah berakar tunjang di setiap pelusuk pentadbiran negara.

“Oleh itu cukup-cukuplah dengan fitnah PAS mahu bersama Umno,” katanya.

Tak sabar nak mengundi

Percaturan PAS itu juga menunjukkan bahawa parti itu tetap mendapat sokongan pengundi bukan Islam, terutama masyarakat Cina.

Penyertaan mereka di kerusi seperti Teluk Intan, Bentong dan Klang itu adalah bukti yang terang lagi nyata untuk mengesahkan hakikat itu.

Ada tempoh kira-kira tujuh hari lagi sebelum semua parti menghantar wakil masing-masing ke pusat penamaan calon. Menjelang detik 28 April ini PAS tentu masih boleh membuat penyesuaian di sana sini bagi melengkapkan sejarah yang sedang dicipta mereka.

Misalnya Iskandar Puteri (nama baru untuk Gelang Patah) adalah kerusi yang sangat membawa harapan buat PAS. Komposisi pengundi di situ memenuhi syarat yang diambil kira parti itu selama ini.

Daripada 106,726 pemilih yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya - mengikut data PRU ke-13 - pengundi Melayu ada seramai 34 peratus, manakala Cina 52 peratus. India pula 12 peratus.

Sementara menunggu detik itu, lagu Sedang Ingin Bercinta kembali berkumandang secara spontan dalam kepala.

Setiap ada kamu
mengapa jantungku
berdetak lebih kencang
seperti genderang mau perang

Setiap ada kamu
mengapa darahku
mengalir lebih cepat
dari ujung kaki ke ujung kepala

Setiap ada kamu
otakku berfikir
bagaimana caranya
untuk berdua bersama kamu.

Agak terganggu juga, sebenarnya. Harap-harap ia tidak berlama-lama di dalam kepala. Lagi pun kita sudah tidak lama lagi nak mengundi.

Bak kata orang muda-muda: Kami tazabarrr...


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen