malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tabung buluh saksi perjuangan PAS'
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 6:59 PM
Dikemaskini: 11:05 AM
ADS

PRU14 | Tuan Ibrahim Tuan Man menyorot cabaran yang dihadapi anggota dan pemimpin PAS yang menurutnya bukan dari kalangan orang berada.

Menurut timbalan presiden PAS itu, meskipun difitnah dan dikenakan pelbagai sekatan, parti itu terus subur menongkah arus.

"PAS memasuki pilihan raya dengan segenap kepayahan. Ahli dilatih berkorban dengan semampu yang ada. Di setiap kali pilihan raya pelbagai barang buangan menjadi objek bahan kempen.

"Lambang PAS diukir pada guni baja, tin kosong, tayar kereta, papan lapis dicat bagi dijadikan billboard. Pimpinan dan ahli parti bersengkang mata menjaga bahan kempen dari dirosakkan oleh musuh politik PAS.

"Sejarah ini tentunya masih segar dalam ingatan golongan As Sabiqun (veteran) khususnya. Tabung buluh menjadi saksi di atas kejerihan bagi memenangkan perjuangan Islam ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tuan Ibrahim menambah, anggota PAS terdiri dari orang kampung yang berjiwa agama yang sanggup menabung membantu parti menghadapi setiap kali pilihan raya.

"Cerita calon (PAS) menjual tanah bagi membayar deposit pilihan raya adalah perkara biasa.

"Di atas kepayahan inilah kita membangunkan perjuangan ini. Kini parti semakin membesar. Telah ramai tokoh koperat, usahawan berjaya, pegawai kerajaan, ahli agama bergabung tenaga bangkit berjuang bagi merubah dasar negara kepada Islam," katanya.

Justeru, Tuan Ibrahim menyeru seluruh anggota PAS yang berada di perantauan pulang mengundi selain memohon sumbangan derma asas bagi membantu PAS dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli PAS diperantauan agar pulang ke distinasi masing-masing untuk balik mengundi PAS. Undi anda sangat besar makna kepada penerusan lagasi Nik Aziz membangun bersama Islam.

"Saya juga menyeru sumbangan derma asas sebanyak RM10.00 bagi setiap ahli parti, manakala yang mampu sumbanglah mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Semalam, pimpinan PAS di kebanyakan negeri di Semenanjung mengumumkan calon pilihan raya di kawasan masing-masing.

Bagi negeri Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, PAS bertanding hampir di setiap kerusi Parlimen dan DUN.

Sementara di Johor, PAS bertanding 20 kerusi parlimen dan 41 kerusi DUN dengan kesemua kerusi itu turut ditandingi parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN)

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi pula mengumumkan calon PAS akan diletakkan di 20 daripada 22 kerusi parlimen dan 47 daripada 56 kerusi DUN.

Lihat Komen