malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Umno ‘haram’ bermakna BN ‘haram’ dan tiada 'dacing'
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 10:41 AM
ADS

BN harus diisytiharkan sebagai pertubuhan haram, kerana salah satu parti utamanya, Umno, adalah juga organisasi haram, dakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Lim berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) secara haram membenarkan Umno menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadualkan selewat-lewatnya semalam, sehingga menjadikan parti itu haram hari ini.

"ROS tidak mempunyai kuasa sedemikian sama ada di bawah Perlembagaan Umno atau Akta Pertubuhan untuk memberi lanjutan seperti itu.

"Ini bermakna bahawa mulai hari ini, Umno menjadi parti politik haram. Ini juga bermakna BN telah menjadi gabungan politik yang tidak sah, sebagai salah satu parti komponennya telah menjadi parti politik haram.

"Ini bermakna bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-14, simbol 'dacing' BN tidak boleh digunakan, kerana 'dacing' juga menjadi haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ROS memberi Umno satu lanjutan masa untuk pemilihan parti itu dengan merujuk satu peruntukan yang membolehkan Majlis Teringgi melengahkan pemilihan selama 18 bulan.

Pengkritik, walau bagaimanapun, berkata, peruntukan berkenaan hanya sah boleh digunakan sekali, dan menyatakan bahawa parti itu telah melakukannya pada 2016. Kali terakhir, Umno mengadakan pemilihan parti adalah pada tahun 2013.

Sebelum ini, ROS memberi alasan masalah dengan status BERSATU antara sebab mengapa gabungan pembangkang Pakatan Harapan tidak dapat didaftarkan.

Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada pembatalan pendaftaran Umno akan memberi kesan yang sama kepada BN.

Pada tahun 2004, PBDS parti komponen BN juga dibatalkan pendaftaran, tetapi tanpa memberi sebarang kesan kepada gabungan pemerintah itu.

Lihat Komen