malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mat Sabu: PAS kena semak siapa beri hadiah
ADS

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menganggap pengakuan seorang pemimpin PAS bahawa parti itu menerima RM2.5 juta sudah cukup untuk mendorong siasatan dibuat mengenainya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengakuan Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Zuhdi Marzuki semalam bahawa parti itu memang menerima dana berkenaan.

"Mereka banyak duit sekarang, Zuhdi dah mengaku terima (sebahagian) RM1.5 juta itu adalah hadiah, jadi kena semaklah hadiah dari siapa,” kata Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Mat Sabu berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan bekas pengarah biro pilihan raya AMANAH Selangor, Jaafar Samsudin yang kembali menyertai parti itu selepas dua hari meninggalkannya.

Isu dana RM2.5 juta itu mula dibangkitkan bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa sejumlah RM1.5 juta didepositkan ke pejabat PAS pusat dan tiga pemimpin PAS Terengganu menerima RM1 juta.

Penyandang anggota parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan dari mana dana itu itu diperoleh.

Mahfuz berkata PAS yang berhasrat bertanding di lebih 160 kerusi parlimen memerlukan sekurang-kurangnya RM2.4 juta untuk menampung wang deposit dan bahan kempen.

Susulan itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS memperoleh dana bukan sahaja daripada anggota parti, malah sumbangan daripada orang luar atau sumber lain yang halal.

[Baca: Dana PRU14: Asalkan ikhlas, halal PAS terima]

Jawapan itu tidak memuaskan hati Mahfuz yang mempersoalkan sekiranya benar, mengapa lidah rasmi PAS, Harakah mengalami masalah kewangan sehingga ada kaki tangannya diberhentikan.


Baca: Harakah RM2 pun ahli PAS tak nak beli - Mahfuz


Bercakap dalam satu forum semalam, Zuhdi mengulangi kenyataan PAS bahawa dasar parti itu terbuka menerima sumbangan daripada sesiapa sahaja termasuk di kalangan individu.

Bagaimanapun beliau tetap menafikan sumbangan RM2.5 juta yang diterima parti itu diperoleh daripada Umno.

"Bekas pimpinan PAS sendiri kata kita dapat RM1.5 juta, RM1 juta dalam bank, ini adalah merupakan derma. Derma daripada individu, bukan Umno, bukan daripada Umno, bukan dari pejabat Umno," kata Zuhdi.

Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata PAS kini tidak lagi bermasalah untuk menempatkan calonnya di semua kerusi parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana memiliki wang yang mencukupi.

“Jadi, PAS banyak duit sekarang. PAS bukan PAS dulu, bukan PAS Cikgu Jaafar dulu,” katanya dengan nada sindiran.

Lihat Komen