malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelepasan GST untuk ECRL supaya kos kekal, kata Irwan
ADS

Pelepasan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah bagi memastikan kos pembinaan berorientasikan perkhidmatan awam itu kekal pada anggaran asal RM55 bilion.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kos projek itu akan meningkat kira-kira enam peratus sekiranya ia dikenakan GST.

"ECRL adalah projek kerajaan, jadi kalau kita mengenakan GST (ke atas projek ini) maka seolah-olah kita mengenakan cukai kepada diri sendiri (kerajaan).

"Kita bagi pelepasan ini kerana kita tidak mahu kos projek ini akan meningkat dan kerajaan terpaksa meminjam lagi...jadi lebih baik kita beri pelepasan GST bagi mengekalkan kos asal," katanya kepada pemberita​​ di sini hari ini,

Beliau berkata demikian selepas sesi Amanat Khas bersama penjawat awam serta agensi Kementerian Kewangan di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) di sini.

Turut hadir Pengarah JPN Kelantan Muhammad Zahari Othman dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Datuk Mohd Nasir Yusoff.

Terdahulu, ketika menjawab soalan peserta pada sesi itu, Mohd Irwan menafikan dakwaan bahawa kerajaan membiarkan kedaulatan negara tergugat dengan kemasukan syarikat dari China untuk melaksanakan projek mega seperti ECRL.

Beliau berkata, Malaysia menerima pelaburan asing RM39.2 bilion pada tahun lepas dan sebahagian besarnya bukan hanya dari China tetapi juga dari negara lain termasuk Jerman, United Kingdom dan Jepun.

"Kita bukan menggadaikan kedaulatan negara ini tetapi kita menarik pelaburan dari luar. ECRL contohnya, syarikat tersebut hanya membangunkan sistem pelaksanaan pembinaan, manakala 70 peratus adalah pekerja tempatan," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan pastinya akan menetapkan kadar harga tiket yang tidak membebankan rakyat sekali gus menafikan tohmahan bahawa harga tiket ECRL adalah terlalu mahal.

"Kita tidak boleh percaya kepada berita tidak sahih. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan pastinya kerajaan akan mengkaji perkara ini dengan sebaik mungkin," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen