malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Setiausaha politik ganti Hadi di DUN Rhu Rendang
Diterbitkan:  Apr 19, 2018 10:26 PM
Dikemaskini: Apr 20, 2018 3:09 AM
ADS

PRU14 I Selepas lapan penggal bergelar Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, akhirnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang melepaskan kerusi tersebut kepada setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang mengumumkan perkara itu pada Majlis Pengisytiharan Calon-calon PAS Terengganu bagi PRU14 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, malam tadi.

Selain itu, katanya, PAS Terengganu juga turut menampilkan 15 muka baru dan mempertaruhkan kesemua 8 kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN negeri itu pada pilihan raya kali ini.

"PAS akan bertanding di seluruh kerusi DUN dan di seluruh kerusi parlimen iaitu (berjumlah) 40 kerusi.

"Kita tidak ada lagi ikatan dengan HARAPAN maka kita akan bertanding di semua kawasan parlimen dan DUN di Terengganu.

"Pada pilihan raya kali ini juga kita akan menampilkan 15 muka baru daripada keseluruhan 40 bakal calon yang akan dipertandingkan," katanya.

22 peratus profesional

Menurut Husain, kesemua calon PAS itu adalah kombinasi antara golongan profesional dan golongan agamawan.

"Calon-calon tersebut juga adalah kombinasi antara golongan yang berlatar belakangkan Islam, yang mewakili hampir 60 peratus dan yang berlatar belakang profesional hampir 22 peratus.

"Selain itu mereka juga terdiri daripada kalangan usahawan-usahawan yang berjaya dalam kerjaya dan bidang masing-masing," katanya.

Manakala Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi diletakkan bertanding di kerusi DUN Batu Burok.

Anak Presiden PAS itu menggantikan penyandang DUN berkenaan, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang digugurkan.

Sementara itu, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali pula mempertahankan Parlimen Kuala Nerus.

Selain mengekalkan penyandang di empat kerusi parlimen, PAS Terengganu juga mengekalkan 15 penyandang DUN kecuali Syed Azman dan bekas Pesuruhjaya PAS negeri, Abdul Wahid Endut (DUN Wakaf Mempelam).

Pengarah Jabatan Penerangan PAS pusat, Ahmad Amzah Mohamed @Hashim pula akan bertanding di parlimen Kuala Terengganu yang dikosongkan penyandangnya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

 

Lihat Komen