malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi bidas Dr M: Saya sarjana politik Islam
ADS

“Saya ada sarjana dalam bidang politik Islam, sebab itu parti memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi pemimpin dan Menteri Besar, dan telah memerintah Terengganu dengan begitu lama,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab dakwaan kononnya beliau tiada kepakaran dalam bidang itu.

Abdul Hadi memperoleh Ijazah Sarjana Siasah Syariah (Sains Politik) di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir, pada 1976.

Ketika menyangkal dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau tiada kepakaran dalam bidang politik dan pentadbiran negeri, presiden PAS itu berkata adalah tidak benar tuduhan Dr Mahathir kononnya beliau gagal mentadbir Terengganu.

"Sedangkan kegagalan pentadbiran negeri ketika itu adalah disebabkan oleh campur tangan kerajaan persekutuan yang ketika itu dipimpin Dr Mahathir, katanya.

“Malangnya berlaku kekangan dari segi ekonomi dan pentadbiran (semasa PAS memerintah Terengganu) di mana berlaku campur tangan kerajaan persekutuan yang ketika itu dipimpin oleh Tun M, dan campur tangan itu bercanggah dengan konsep pembangunan kerajaan negeri pada ketika itu," jelas beliau.

Beliau menarik perhatian kepada Kelantan yang menurutnya banyak hak penduduk dinafikan sebab campur tangan kerajaan persekutuan pada zaman Dr Mahathir.

Namun Kelantan masih berjaya bertahan (di bawah pimpian PAS) hingga ke hari ini, katanya kepada wartawan selepas menyampaikan ceramah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Markas PAS Kampung Rawai di Kuala Terengganu malam tadi.

Abdul Hadi berkata rakyat sendiri kini boleh lihat tuduhan Dr Mahathir dan kebenaran di sebaliknya.

Sementara itu, mengulas keputusan beliau untuk tidak lagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada PRU kali ini, Abdul Hadi berkata langkah itu untuk membolehkan beliau memberikan fokus kepada pentadbiran parti di peringkat pusat.

“Dalam masa sama, saya juga telah dilantik menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan oleh sebab itu, saya rasa tidak wajar untuk saya turut bertanding kerusi DUN Rhu Rendang ini,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, PAS turut bersedia menjadi "kingmaker" dan bergabung dengan mana-mana parti yang sedia memartabatkan Islam dan melaksanakan keadilan untuk rakyat secara keseluruhan.

“PAS berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dengan mengutamakan kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada agama dan negara. Kita optimis mampu memenangi 40 kerusi Parlimen dalam PRU14 sekali gus memperbaiki pencapaian pada PRU lalu.

'Kingmaker 160 kerusi'

“Kita berharap PAS akan menjadi ‘kingmaker’, dihubungi semua pihak yang tubuh kerajaan.

"Itu minimum yang kita nak usahakan daripada 160 kerusi. Itulah penyelesaian masalah dengan Islam, kerana Islam adalah untuk semua, adil untuk semua, yang boleh diterima oleh semua pihak,” katanya.

Abdul Hadi berkata PAS sedia berbincang dan bekerjasama dalam menubuhkan kerajaan campuran dengan mana-mana parti yang bersedia menerima syarat-syarat ditetapkan oleh parti itu.

Pada PRU13, PAS memenangi 21 kerusi Parlimen dengan menyertai Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP dan PKR manakala untuk PRU14. PAS membentuk Gagasan Sejahtera yang disertai badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik.

- Bernama

Lihat Komen