malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah bebas koperal polis kes komen palsu
ADS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan seorang koperal polis berusia 40 tahun atas tuduhan menyiarkan komen palsu dan menyinggung pada hantaran Facebooknya mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Nik Azmi Nik Mustapha didakwa membuat komen palsu dan menyinggung atas hantaran di Facebooknya pada tengah malam 12 Disember 2016. Hal ini, selepas Kelab Suara Umno membuat laporan polis.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zaman Mohd Noor memutuskan tiada kes prima facie pada akhir kes pendakwaan, kerana terdapat kesilapan dalam kes itu disebabkan tiada saksi daripada kelab itu yang dipanggil untuk mengesahkan hantaran (posting) tersebut sebagai benar.

"Pihak pendakwaan juga gagal untuk membuktikan elemen bagaimana penyebaran itu menyinggung seperti terkandung dalam lembaran pertuduhan. Laporan forensik tidak melaporkan apa-apa maklumat yang berkaitan dengan kes itu," kata Zaman.

Lepas tanpa perlu pembelaan

"Selepas mendengar keterangan saksi, mahkamah mendapati tiada kes prima facie terhadap orang yang dituduh, maka dengan itu mahkamah membebaskan dan melepaskannya tanpa perlu meminta pembelaan," tambah hakim itu.

Nik Azmi yang ditempatkan di balai polis daerah Sentul kini digantung tugasnya.

Nik Azmi didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Koperal polis itu diwakili peguambela Zulhazmi Sharif manakala pihak pendakwaraya pula diwakili DPP Noor Jazilah Mohd Yushaa.

Empat saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula pada 21 Mac lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen