malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Khaled pun belum tentu kekal MB
Diterbitkan:  Apr 19, 2018 2:42 PM
Dikemaskini: 12:54 PM
ADS

PRU14 | Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin membalas semula kenyataaan Menteri Besar sementara Johor Datuk Seri Khaled Nordin yang mahu memastikan kekalahannya pada PRU ke-14.

Bercakap pada sidang media di pagoh hari ini, beliau berkata Khaled sendiri belum pasti menang dalam pilihan raya umum kali ini.

"Saya dengar Khalid pun bertanding di dua tempat, kalau kalah di satu kerusi dia masih boleh menang di satu lagi kerusi, jadi masih ada harapan.

"Saya nak tanya dia sama ada masih kekal di (DUN) Permas atau pindah ke kawasan lain, masih kekal sebagai MB atau tidak.

"Kalau nak menang, beliau kena jaga betul-betul kawasan," kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Memetik Utusan Online 15 April lalu, Khaled yang merupakan pengerusi BN Johor berkata BN bertekad untuk memastikan kekalahan Muhyiddin di mana sahaja kerusi yang ditandinginya.

"Dalam pilihan raya, setiap parti hendak pastikan lawan mereka tidak menang...Kita akan pastikan Muhyiddin kalah di semua kerusi yang dia bertanding," kata Khaled.

Tanding dua kerusi

Pada PRU kali ini, Muhyiddin akan bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen Pagoh dan DUN Gambir. Gambir merupakan kerusi campuran dan dimenangi BN pada PRU lalu dengan majoriti 310 undi.

Sebelum ini timbul spekulasi mengatakan Khaled akan bertanding di dua kerusi, iaitu DUN Permas yang disandangnya dan Parlimen Pasir Gudang yang dipegangnya sebelum berpindah ke peringkat DUN pada PRU lalu.

Namun Khaled membiarkan soal itu diputuskan kepimpinan BN.

Pada PRU lalu, beliau menang di DUN Permas dengan majoriti 5,752 undi.

BN jarang meletakkan seorang calon di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN memandangkan gabungan itu biasanya mempunyai calon yang cukup.

Sementara itu, timbul juga spekulasi mengatakan Khaled mungkin tidak lagi menjadi menteri besar.

Jawatan itu dikatakan mungkin diberi kepada penyandang Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim atau penyandang Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamad.

Namun belum ada petanda yang menunjukkan dua timbalan menteri itu akan bertanding di peringkat DUN.

Lihat Komen