malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Tindakan Parti Amanah Negara (AMANAH) mempengaruhi anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar menyertai parti itu dilihat PAS sebagai cubaan menjadikan beliau umpan pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan AMANAH memujuk Nik Omar itu untuk dijadikan umpan meraih sokongan rakyat Kelantan.

"Parti AMANAH tak ada tarikan sebab itu terpaksa cari faktor (cuba) tarik Nik Omar peluang yang ada digunakan.

"(Ia) sebagai umpan kepada pengundi nak kaitkan dengan (pengaruh) Nik Abdul Aziz, AMANAH tak ada kekuatan politik," katanya selepas majlis perasmian pecah tanah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak An-Nisa di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, AMANAH dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Nik Omar yang juga anak kedua bekas menteri besar Kelantan untuk diangkat sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Bagaimanapun, usaha itu setakat ini tidak berjaya selepas ibu Nik Omar, Tuan Sabariah Tuan Ishak tidak merestuinya.

Sementara itu Mohd Amar berkata, tindakan AMANAH itu dilihat biadap kerana tidak menjaga sensitiviti keluarga bekas mursyidur am PAS itu selepas Tuan Sabariah sudah menyatakan larangan kepada Nik Omar.

"Itu menunjukkan AMANAH tidak ada kekuatan walaupun ada bekas exco atau naib presiden dalam parti berkenaan.

"Mereka tidak yakin dengan kepimpinan yang ada dalam parti itu, " katanya yang juga penyandang timbalan menteri besar Kelantan.

Lihat Komen