malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim: PAS bukan tanding 160 kerusi, tapi lebih
ADS

PRU14 | Walaupun PAS mengumumkan akan bertanding di 160 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), jumlah bilangan kerusi itu sebenarnya akan bertambah.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi gambaran bahawa PAS sebenarnya akan bertanding lebih daripada 160 kerusi.

"Presiden PAS umumkan kita akan bertanding di 160 kerusi Insya-Allah, tapi sebenarnya lebih sikit lagi.

"Nanti kita dengar pengumuman," katanya ringkas mengenai perkara itu ketika menyampaikan ceramah di program Ceramah Prapengisytiharan Calon PRU14 di Wakaf Bharu, Tumpat, malam tadi.

Terdahulu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu bersama Gagasan Sejahtera akan meletakkan calon di 160 daripada 222 kerusi parlimen.

Malah, PAS turut menegaskan parti itu tidak mempunyai masalah kewangan bagi menampung keperluan pilihan raya yang akan berlangsung 9 Mei depan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menempelak tohmahan dibuat Pakatan Harapan (HARAPAN) kononnya PAS mahu bekerjasama dengan Umno.

Sebelum ini katanya, parti itu menyasarkan bertanding di 130 kerusi dengan sasaran kemenangan minima di 40 kerusi.

"Apabila kita sasar nak menang 40 kerusi Pakatan Harapan kata kita nak berpakat dengan Umno.

"Bila kita nak bertanding 160 kerusi mereka tanya kita ambil duit daripada mana?

"Ikut kawe (kami) ambil duit daripada mana, demo (mereka) yang pening kepala kenapa? Hari itu mereka kata kita dapat duit RM90 juta.

"Ahli PAS dekat sejuta orang, kalau seorang bagi RM5 cukup dah," katanya.

Lihat Komen