malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU 14 | PAS tidak lagi mengamalkan baiah taklik cerai isteri kepada calon mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Majlis Syura Ulama parti itu membuat penyelarasan bagi lafaz baiah.

"Kali ini kita selaraskan baiah untuk seluruh negara, tiada tambahan.

"Tiada perbezaan (baiah) antara Kelantan dan calon di negeri-negeri lain," katanya pada sidang media selepas program Ceramah Pra Pengisytiharan Calon PAS PRU14, di Wakaf Bharu, Tumpat, malam tadi.

Sebagai rekod PAS Kelantan sebelum ini mengenakan baiah tambahan iaitu taklik cerai isteri kepada ahlinya yang menjadi calon pada pilihan raya lalu.

Ia bertujuan bagi mengikat kesetiaan ahli supaya tidak berpaling tadah atau melompat parti.

Tuan Ibrahim berkata, bagi calon-calon daripada parti lain dalam Gagasan Sejahtera pula satu akur janji perlu ditandatangani oleh mereka yang menjadi calon.

"Dengan rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera kita ada akur janji yang perlu ditandatangani.

"Akujanji ini agar mereka patuh, sedia, tidak khianat dan istiqamah dengan perjuangan parti. Ini termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ada akujanji juga," katanya.

Ditanya apakah langkah lain yang perlu diambil bagi mengawal ahli daripada lompat parti katanya, PAS pernah mencadangkan supaya akta dipinda di peringkat parlimen supaya melarang ahli-ahli yang menang melompat parti.

Tetapi jelas beliau, kerajaan menolak cadangan itu atas alasan bercanggah dengan hak asasi manusia dan perlembagaan negara.

"Bagi kita yang mampu kita buat hanya akujanji, baiah dan mereka diikat dengan program parti.

"Kita tak boleh nak sekat kalau seseorang itu nak keluar (parti) juga," katanya.

 

Lihat Komen