malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MTEM: Nak lebih jimat, ‘beri’ semua projek pada China
ADS

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) secara sinis menasihatkan kerajaan supaya memberikan segala projek pembangunan negara kepada syarikat China demi menikmati lebih banyak penjimatan kos kerana mereka tidak dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja menjimatkan kos kerana tidak perlu membayar cukai GST malah dapat memberi banyak penjimatan atau tiada peningkatan kos projek yang akan berlaku.

"Jika logik ini digunapakai, sepatutnya akan ada lebih banyak kebaikan jika segala projek membangunkan negara di "outsource" atau diberi kepada syarikat China kerana mereka tidak perlu membayar cukai GST.

"Yang pastinya dapat memberi banyak penjimatan dalam kos projek atau secara asasnya tiada peningkatan kos projek," katanya dalam pesanan WhatsApp kepada Malaysiakini.

Ahmad Yazid dipercayai merujuk sindiran Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To yang mendakwa kerajaan memberi pelepasan cukai kepada kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) - China Communications Construction Company (CCCC) bagi mengelakkan proses tidak diperlukan serta perbelanjaan bertindih.

Malah, See-To juga berkata, sekiranya GST dimasukkan, ini akan menyebabkan jumlah keseluruhan pinjaman dan faedah meningkat.

Projek ECRL adalah projek bernilai RM55 bilion dan sebanyak 85 peratus kos projek itu dibiayai melalui Bank Eksport-Import China. Tempoh pembayaran baliknya bermula pada tahun ketujuh dalam tempoh 13 tahun pada kadar faedah 3.25 peratus.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan perbelanjaan bertindih, Ahmad Yazid menyarankan agar syarikat kontraktor yang bakal menghubungkan Kelantan melalui jalan kereta api ke Pelabuhan Klang itu membayar GST terlebih dahulu sebelum proses tuntutan semula dilakukan.

Katanya, ini adalah amalan kerajaan ketika ini.

Sekiranya perkara itu tidak dilakukan, beliau berkata semua pinjaman yang dibuat kerajaan perlu diberi pengecualian demi kepentingan awam, seperti projek-projek Inisiatif Pembiayaian swasta (PFI).

"Saranan MTEM, sebaiknya syarikat kontraktor projek ECRL perlu membayar GST berkenaan terlebih dahulu sebelum proses tuntutan semula dilakukan sebagaimana proses yang sedia ada yang diamalkan kini oleh kerajaan.

"Jika tidak, semua pinjaman yang kerajaan buat perlulah juga diberi pengecualian yang serupa untuk jimatkan kos kepada kerajaan. Contohnya adalah projek-projek PFI yang lain, demi kepentingan awam.

"Sewajarnya pihak kerajaan dapat memberikan prosedur dan aras penilaian bagi menentusahkan sesebuah syarikat tersebut boleh menerima pengecualian.

"Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap keputusan yang diambil oleh kerajaan, malah ia dapat memberikan satu standard kepada mana-mana organisasi atau syarikat berkepentingan khusus membantu rakyat dapat memanfaatkan pengecualian tersebut," katanya.

Ahmad Yazid turut menyarankan agar kerajaan melakukan pengecualian GST kepada barangan kritikal seperti makanan, air, barangan input untuk pertanian, bahan binaan untuk rumah kos rendah serta caj perkhidmatan kerajaan.

"Pada pandangan MTEM, untuk semua transaksi lain, GST wajar dikenakan untuk mengelakkan ketidakadilan berlaku terutamanya kepada perniagaan tempatan yang tidak menikmati pengecualian GST," katanya.

Lihat Komen