malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini berkata beliau tidak tahu menahu ada pemimpin parti itu yang mendakwa malaikat akan mengundi mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bulan depan.

“Iya ke, saya pun tak tahu dia ada kata macam itu.

"Tak ada kata malaikat mengundi, kot... tak tahulah, kena tanya dia sendiri.

“Saya tak pasti dia ada kata begitu,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Takiyuddin mengumumkan PAS akan membuat pengisytiharan nama calon-calon parti itu bagi seluruh negara - kecuali untuk Kelantan, Sabah dan Sarawak - pada esok.

Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi bahawa malaikat boleh membantu PAS pada PRU ke-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei ini sebagai hari mengundi di seluruh negara, dan 5 Mei untuk pengundi awal.

Nor Azariza ketika berceramah di Kota Bharu pada 9 April lalu berkata malaikat mungkin membantu untuk memenangkan PAS pada PRU kali ini, jika diizinkan Tuhan.

Ketika itu, beliau menempelak anggapan sesetengah pihak bahawa parti itu tidak mampu menang kerana tidak bekerjasama dengan pembangkang utama yang lain.

"Jadi dalam pilihan raya boleh tak Allah hantar malaikat bawa IC (kad pengenalan) beratur pergi mengundi? Boleh tak? Senang sangat adik-kakok (tuan-tuan dan puan-puan)," katanya.

Beriman kepada malaikat

Bagaimanapun kenyataan Nor Azariza itu mengundang kecaman orang ramai dan turut mendapat perhatian pendakwah bernama Abu Syafiq Al-Asy'ary yang menyifatkannya sebagai mengarut dan satu pembohongan.

Malah beliau menggesa Majlis Mufti Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan isu-isu pembohongan agama oleh golongan ahli politik.

Namun, Nor Azariza tampil mempertahankan kenyataannya berhubung "malaikat mengundi" meskipun dihujani kritikan dan sindiran di media sosial.

Nor Azariza menganggap kritikan orang ramai terhadapnya tidak bersandarkan ilmu yang jelas, sebaliknya atas dasar tidak yakin dengan kemampuan malaikat untuk berbuat demikian.

"Saya nak sebut tentang kepercayaan kita, beriman kepada malaikat.

"Kita kena sedar malaikat makhluk Allah dan tidak pernah ingkar dengan setiap perintah Allah kepada mereka," katanya dalam video yang dimuat naik Facebook Kelantan TV hari ini.

Justeru, beliau berkata kenyataannya tempoh hari untuk menunjukkan bagaimana Tuhan boleh membantu mereka yang memperjuangkan Islam.

Lihat Komen