malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Calon DAP Kluang cuba jadi api dalam sekam'
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 4:30 PM
Dikemaskini: 9:19 AM
ADS

Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim menyifatkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Kluang, Wong Shu Qi cuba menjadi api dalam sekam dan melaga-lagakan rakyat di negeri itu.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Wong membidas Menteri Besar sementara Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menuduh DAP sebagai "penjajah baru".

"Jelas sekali Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak sesekali cuba menyentuh isu perkauman tapi sebaliknya Wong Shu Qi cuba menjadi api dalam sekam dan menyuntik rasa amarah dengan cuba melaga-lagakan muafakat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hahasrin, Wong yang juga bekas ADUN Senai sejak dahulu gemar memetik kenyataan 'di luar konteks'.

“Bahkan beliau juga sering menjadi alat provokasi DAP bagi melaga-lagakan keharmonian yang selama ini dikecapi oleh Bangsa Johor,” kata Hahasrin.

Khaled Isnin lalu memberi amaran kepada rakyat Johor agar berhati-hati dengan DAP yang didakwanya mempamerkan tingkah laku seperti penjajah.


Baca: Berhati-hati dengan penjajah baru, DAP


Khaled berkata keengganan DAP menerajui gabungan Pakatan Harapan menimbulkan kemusykilan.

“Mereka kononnya tak minat jadi pemimpin teratas atau nombor 1. Kalau kita lihat sejarah, ini cara penjajah dulu yang datang tanah air kita," katanya.

Susulan itu Wong semalam berkata Mohamed Khaled hanya merendah-rendahkan tahap kecerdikan rakyat dan menyifatkannya masih berperangai seperto pencacai Umno.


Baca: MB Johor masih berperangai seperti pencacai Umno


Wong juga mengingatkan Mohamad Khaled mengenai perjuangan tokoh terdahulu di Johor, Datuk Onn Jaafar yang menentang penjajah dan sudi bekerjasama dengan semua kaum.

Mengulas perkara itu Hahasrin mendakwa Wong berniat jahat apabila cuba mencari persamaan antara perjuangan Onn Jaafar dengan HARAPAN yang ingin memecahbelahkan kaum di Johor.

“Jangan hanya kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

"Jangan hanya kerana calon yang seorang ini habis lebur binasa segala muafakat bangsa Johor yang telah lama dibina," katanya.

Hahasrin juga menggesa rakyat Johor tidak memberi undi kepada Wong yang disifatkannya sebagai 'calon transit' pada PRU13 lalu.

“Lihat sahaja bagaimana ‘track record’ beliau di Senai yang nyata gagal dan bertindak lari dari kewajipan yang seharusnya dipenuhi oleh beliau," katanya.

Lihat Komen