malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS Kelantan pertahan 'malaikat turun mengundi'
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 2:40 PM
Dikemaskini: 9:31 AM
ADS

Selepas dihujani kritikan dan sindiran di media sosial, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi tampil mempertahankan kenyataannya berhubung "malaikat mengundi".

Beliau menganggap kritikan orang ramai terhadapnya tidak bersandarkan ilmu yang jelas, sebaliknya atas dasar tidak yakin dengan kemampuan malaikat untuk berbuat demikian.

"Saya nak sebut tentang kepercayaan kita, beriman kepada malaikat. Kita kena sedar malaikat makhluk Allah dan tidak pernah ingkar dengan setiap perintah Allah kepada mereka," katanya dalam video yang dimuat naik Facebook Kelantan TV hari ini.

Justeru, beliau berkata kenyataannya tempoh hari untuk menunjukkan bagaimana Tuhan boleh membantu mereka yang memperjuangkan Islam.

"Ia analogi mudah untuk kita faham. Seperti saya sebut dalam perang Badar, Allah arahkan Malaikat turun dan berperang bersama Islam. Begitu juga dengan perang di Syria, Afghanistan.

"Di Malaysia peperangan kita tidak guna senjata tetapi pilihan raya, pertembungan antara ideologi Islam dan ideologi ciptaan manusia," katanya yang lebih dikenali dengan nama 'Ustaz Ja'.

Selain kecaman orang ramai, kenyataan itu turut mendapat perhatian pendakwah bernama Abu Syafiq Al-Asy'ary yang menyifatkannya sebagai mengarut dan satu pembohongan.

Malah beliau menggesa Majlis Mufti Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan isu-isu pembohongan agama oleh golongan ahli politik.

'Perang' di Malaysia

Ketika berceramah di Kota Bharu 9 April lalu, Nor Azariza berkata malaikat boleh membantu untuk memenangkan PAS pada pilihan raya umum kali ini, jika diizinkan Tuhan.

Ketika itu, beliau menempelak anggapan sesetengah pihak bahawa parti itu tidak mampu menang kerana tidak bekerjasama dengan pembangkang utama yang lain.

"Jadi dalam pilihan raya boleh tak Allah hantar malaikat bawa IC (kad pengenalan) beratur pergi mengundi? Boleh tak? Senang sangat adik-kakok (tuan-tuan dan puan-puan)," katanya.

Nor Azariza menegaskan ucapannya itu tidak menyalahi akidah.

"Orang kata (perang Badar berbeza kerana) perang antara orang Islam dan orang Kafir. Kita di Malaysia ini perang ideologi Islam dengan ideologi buatan manusia yang jelas salah

"Sebab itu saya sebut ketika ceramah, paling penting kita perlu membentuk diri menjadi orang yang layak mendapat pertolongan Allah," katanya lagi.

Lihat Komen