malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pinjaman Deustche Bank oleh 1MDB yang penuh tanda tanya
ADS

WAWANCARA | Isu 1MDB mula terungkai pada akhir 2014 ketika ia gagal membayar pinjaman penyambung (bridging loan) berjumlah RM2 bilion daripada sejumlah peminjam tempatan.

Syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan itu mendapat sedikit ruang bernafas apabila hartawan Tan Sri Ananda Krishnan datang dengan pinjaman dengan jumlah yang sama.

Namun pada Mei 2015 tiba lagi tuntutan bayaran pinjaman, apabila konsortium bank yang diketuai Deutsche Bank menuntut bayaran awal pinjaman AS$975 juta. Tuntutan itu empat bulan lebih awal daripada tarikh yang dipersetujui.

Pada masa penuh bergolak itu, Arul Kanda Kandasamy dilantik mengemudi 1MDB. Beliau dibawa masuk atas kepakarannya dalam soal penstrukturan semula hutang.

Namun beliau melakukan lebih daripada itu dengan menjadi wajah 1MDB, sesuatu yang tidak dilakukan ketua pegawai eksekutif sebelum itu. Beliau bersungguh-sungguh mempertahankan syarikat itu daripada dakwaan penyelewengan.

Tuntutan pembayaran Deustche Bank membawa kepada rentetan peristiwa yang masih tidak selesai hingga hari ini.

1MDB kekurangan wang dan mendapat bayaran awal RM1 bilion daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi membayar pinjaman Deustche Bank.

Namun urus niaga antara 1MDB dan IPIC mencetuskan pertikaian. Ia dibawa ke Tribunal Timbang Tara di London dan penyelesaian dicapai apabila 1MDB diarahkan untuk membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC.

Ia di sebalik dakwaan 1MDB bahawa mereka telah membayar AS$3.5 bilion kepada IPIC tetapi tidak dikira. Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan perkara itu.

Jadi untuk apa sebenarnya pinjaman Deustche Bank?

Pinjaman untuk bayaran yang sudah dibuat

Secara rasmi, pinjaman itu - seperti yang dinyatakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) - untuk pembayaran kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar) yang berpangkalan di Kepulauan Virgin British bagi penamatan opsyen yang diberi kepada syarikat itu dalam dua urus niaga aset tenaga sebelumnya.

Namun anehnya 1MDB berkata ia sudah membayar AS$993 juta kepada Aabar BVI untuk tujuan itu ketika ia menebus sebahagian "unit dana" miliknya dalam Brazen Sky, yang turut mempunyai kontroversi sendiri. Brazen Sky Limited adalah subsidiari 1MDB.

Mengapa 1MDB perlu membuat pinjaman AS$975 juta jika ia sidah membayar AS$993 juta untuk tujuan sama? Anggota PAC Tony Pua (gambar) mempersoal Arul berhubung perkara ini, ketika sesi pendengaran pada 1 Disember 2015.

Selepas mengelak soalan itu beberapa kali, beliau berkata hanya boleh memberi jawapan kepada PAC kemudian.

Lebih dua tahun selepas pendengaran PAC tersebut, Malaysiakini dalam wawancara bersama Arul minggu lalu sekali lagi memintanya menjelaskan tujuan sebenar pinjaman itu. Namun jawapan tetap tidak kunjung tiba.

Berikut adalah transkrip wawancara itu:

Malaysiakini: Isu kedua yang anda perlu tangani adalah Deustche Bank.

Arul Kanda: Saya benar-benar minta maaf tetapi ini perkara beberapa tahun lalu dan sudah disebut banyak kali.

Malaysiakini: Sebab kami bangkitkannya...ia dibangkitkan dalam PAC tetapi kerana keadaan pada masa itu, ia tidak dinyatakan. Tony Pua bertanya untuk apa pinjaman AS$975 juta dan anda kata (tidak boleh beri jawapan segera) perlu memberi jawapan kepadanya pada lain masa...

Arul Kanda: Tidak, ia ada dalam laporan PAC. Dalam laporan itu ada seksyen yang menjelaskan setiap hutang dan tujuannya.

Malaysiakini: (Dalam laporan PAC) Ia dikatakan untuk penamatan opsyen (Aabar BVI) tetapi pada masa itu tiada jawapan jelas (daripada anda). Bolehkah kami sahkan bahawa ia memang digunakan untuk penamatan opsyen itu?

Arul Kanda: Anda perlu rujuk apa yang ada dalam laporan PAC jika soalan anda berdasarkannya...Sudah lama saya tidak baca laporan itu, saya tidak mahu beri maklumat salah.

Malaysiakini: Kami tak dapat jawapan menerusi laporan PAC jadi kami minta anda untuk beri penjelasan.

Arul Kanda: Maaf, ia perkara lama. Saya perlu merujuk semula nota saya...Laporan PAC sangat terperinci, ia beritahu anda tujuan setiap pinjaman yang dibuat. Ia sangat terperinci, sila rujuk laporan itu.

Malaysiakini: Dinyatakan ketika (pendengaran) PAC, Tony Pua meminta pengesahan anda dan anda kata akan beri jawapan kepadanya. Adakah anda beri jawapan selepas itu?

Arul Kanda: Anda perlu rujuk laporan itu. Jawapan ada di dalamnya.

Malaysiakini: Masalahnya tiada jawapan dalam laporan (PAC).

Arul Kanda: Saya yakin ada, sudah lama saya tidak membacanya tetapi setakat pengetahuan saya, setiap pinjaman yang diambil dijelaskan dalam laporan, begitu juga dengan tujuannya.

Malaysiakini beralih ke topik lain sebelum kembali ke soal itu, kali ini transkrip PAC dibacakan kepada Arul. Berikut adalah sebahagian daripada transkrip PAC itu:

Tony Pua: Baiklah, jadi perjanjian itu ada tujuannya, dan salah satunya adalah penamatan opsyen. Tetapi wang itu sebenarnya digunakan untuk apa? Apakah penggunaan wang yang diterima daripada AS$975 juta itu?

Arul Kanda: Jadi yang Berhormat, pinjaman dan jumlah itu dibuat selepas tamat tempoh perakaunan...Jadi saya hendak kembali kepada Yang Brhormat dengan jawapan tersebut akan beri jawapan kepada YB kemudian. Disebabkan ia tiada dalam akaun - akaun untuk tahun ini belum disediakan, jadi saya perlu beri jawapan kemudian.

Arul kemudian mengulangi jawapannya bahawa penjelasan ada dalam laporan PAC. Benar, laporan PAC menyatakan tujuan pinjaman adalah untuk penamatan opsyen Aabar, jawapan sama yang diberikan 1MDB kepada Deustche Bank ketika membuat pinjaman.

Tetapi sepanjang prosiding PAC, Arul tidak menyatakan secara rasmi kegunaan wang tu. Beliau juga enggan berbuat demikian ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Versi DOJ

Saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menyatakan penamatan opsyen Aabar adalah sebab rasmi pinjaman itu, tetapi memberikan kisah berbeza tentang bagaimana wang tersebut dibelanjakan.

Pinjaman AS$975 juta adalah pembiayaan semula daripada pinjaman sebelumnya berjumlah AS$250 juta, juga daripada Deutsche Bank.

Menurut DOJ, antara Mei hingga September 2014, kira-kira AS$175 juta disalurkan kepada Aabar-BVI dan AS$681 juta kepada Aabar Investments PJS Limited yang didaftarkan di Seychelles (Aabar-Seychelles).

Seperti Aabar-BVI, Aabar-Seychelles menggunakan nama sama dengan subsidiari International Petroleum Investment Company (IPIC) etika itu iaitu Aabar Investment PJS. Tetapi kedua-dua Aabar itu tiada apa-apa kaitan sah dengan IPIC.

Aabar-BVI ada disebut dalam rekod awam, termasuk laporan PAC, yang menyatakan Jabatan Audit Negara tidak dapat mengesahkan sama ada ia subsidiari sah IPIC.

Apa yang menariknya, Aabar-Seychelles tidak pernah disebut dalam mana-mana rekod awam berkaitan siasatan 1MDB.

Selepas pengalihan wang itu, kata DOJ, wang tersebut disalurkan kepada beberapa perantara sebelum berakhir di akaun - antara lain - usahawan Malaysia Low Taek Jho, Malaysian Official 1 dan seorang pegawai 1MDB.

Wang itu didakwa digunakan untuk membeli antaranya kapal pesiar mewah Equanimity dan barang kemas yang diberikan Jho Low kepada model Miranda Kerr.

Jaringan transaksi tidak dapat disenaraikan di sini tetapi boleh dilihat di laman mkro Malaysiakini berkenaan pemfailan DOJ bawah "Fasa Buyback Options".

Pemfailan mahkamah DOJ itu juga menyatakan sebahagian daripada wang itu "dikitar semula" dengan menyalurkannya kepada Brazen Sky Limited melalui perantara, dan kemudian sekali lagi melalui perantara sama sebelum dikembalikan kepada subsidiari 1MDB.

"Tujuan aliran dana yang rumit – dan sebenarnya tidak perlu - ini untuk menimbulkan tanggapan unit dana dalam akaun Brazen Sky ditebus kepada wang tunai dan dibayar kepada 1MDB, maka secara salah menutup fakta bahawa unit dana itu tidak boleh dicairkan dan secara relatifnya tiada nilai." kata DOJ dalam pemfailannya.

Arul bagaimanapun bertegas mengatakan kandungan pemfailan DOJ itu belum dibuktikan.

"Biar saya nyatakan dengan jelas, DOJ mungkin betul dan mungkin salah. Saya tidak tahu tetapi hakikatnya saman sudah difailkan dan peguam akan cuba membuktikan kesnya.

"Anda masih perlu melalui proses mahkamah, pendengaran dan pembelaan dan kemudian keputusan. Hanya selepas hakim membuat keputusan anda boleh katakan dakwaan anda itu fakta atau bukan.

"Dan ini saya fikir tidak berlaku. Jika anda lihat naratif pembangkang di Malaysia, (oleh kerana) saman DOJ menyatakannya, maka A, B, C, D dan E adalah bersalah.

"Tetapi mereka tidak cuba menjelaskan kepada rakyat bahawa ia hanyalah pemfailan. Anda belum melalui pendengaran, pembelaan dan keputusan," katanya.

Bahagian 1: Arul Kanda: Jerayawara 1MDB dorong DAP lancarkan 'bazooka'

Bahagian 2: Misteri 'unit dana' 1MDB selepas tiga tahun

Bahagian 4: 'Saya tak takut debat Tony Pua, tapi...'

Laporan berkaitan: Saman DOJ: Dakwaan rompakan berbilion ringgit 1MDB

Lihat Komen