malaysiakini logo
story-image
ADS

Parti-parti politik mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekeluarga kerana kematian Datin Seri Endon Mahmood.

Endon, 64, menghembuskan nafas terakhir pada 7.55 pagi tadi di Sri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Timbalan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditemui di Putrajaya berkata; "Saya bercakap dengan Perdana Menteri malam semalam, beliau tidak membayangkan apa-apa."

Najib berkata beliau akan memberi sokongan penuh kepada Abdullah sepanjang tempoh yang menyedihkan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz juga melahirkan simpati den terkejutnya mendengar berita kematian tersebut.

"Saya harap Datuk Seri Abdullah akan kembali bertugas seperti biasa dan kami akan memberi sokongan kepadanya untuk mentadbir negara," tambahnya.

Di dalam satu kenyataan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, beliau bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan seluruh keluarga amat sedih bersimpati dengan Perdana Menteri.

Menurut Anwar, keluarganya tidak akan melupakan sifat persahabatan dan murah hati Endon.

Kehilangan besar

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub juga mengucapkan takziah kepada keluarga Abdullah dan menyifatkan kematian Endon sebagai satu kehilangan besar bagi negara.

"Kami berharap Perdana Menteri dan keluarganya tabah dan bersabar menghadapi dugaan ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Ketua pembangkang, Lim Kit Siang yang dihubungi pula berkata; "Walaupun Endon baru dua tahun menjadi isteri Perdana Menteri, beliau telah berjaya memenangi hati rakyat dengan sifat lemah lembut, murah hati dan ketabahannya."

"Ketabahan beliau melawan penyakitnya menjadi inspirasi kepada semua,"ujarnya.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad pula menyatakan, kehilangan Endon akan dirasai oleh semua rakyat.

"Kami harap Perdana Menteri tabah menghadapi tempoh yang sukar ini berikutan kematian dua orang yang disayanginya, ibunya dan isteri tercintanya," tambah beliau.

Ibu Abdullah, Allahyarham Kailan Hassan meninggal dunia Februari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!