malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM: Hantar peluru tindakan pengecut
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 2:32 PM
Dikemaskini: 6:35 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan ugutan terhadap pegawai kanannya melalui penghantaran peluru hidup sebagai tindakan pengecut, kata ketua pesuruhjayanya.

“Saya mahu mereka yang terbabit menghentikan perbuatan itu kerana tindakan pengecut sedemikian tidak akan sama sekali melemahkan semangat pegawai-pegawai SPRM daripada melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kami,” kata Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki semalam mendedahkan terdapat pegawainya menerima peluru hidup nota ugutan yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya.

Azam percaya perbuatan itu dilakukan susulan beberapa kes berprofil tinggi yang sedang disiasat suruhanjaya itu.

Antara kes berprofil tinggi bawah pengawasan suruhanjaya itu termasuk kes jualan tanah Ijok di Selangor, projek terowong dasar laut kerajaan Pulau Pinang dan pembekuan akaun bank milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd di Australia.

Dalam kenyataan hari ini, Dzulkifli berkata perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntik semangat mereka untuk terus berjuang dalam memastikan masyarakat terbela daripada anasir-anasir rasuah dan salah guna kuasa.

SPRM juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut.

Lihat Komen