malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Merebut Tebrau: Persaingan strategi untuk undi Melayu
ADS

PRU14 | Bagi Steven Choong, punca kekalahan tipisnya di kerusi Parlimen Tebrau pada PRU yang lalu jelas - tiada sokongan Melayu yang cukup.

Ketua Cabang PKR Tebrau itu bertekad tidak mahu berdepan perkara sama dan sejak lima tahun yang lalu menumpukan usaha di kampung-kampung Melayu dan kawasan Felda.

Bukannya Choong tidak memberi tumpuan kepada undi Melayu pada PRU lalu, tetapi hakikatnya ialah beliau hanya dicalonkan sebulan sebelum hari mengundi. Beliau tiada cukup masa untuk turun ke lapangan.

"Di Tebrau, pengundi Cina kurang daripada 40 peratus, anda perlu mendapat sekurang-kurangnya 25 peratus undi Melayu untuk menang," katanya kepada Malaysiakini.

Pada PRU 2013, Choong kalah kepada calon MCA, Datuk Khoo Soo Seang dengan majoriti 1,767 undi.

Beliau mendapat 85 peratus undi Cina dan 50 peratus undi India tetapi hanya 21 peratus undi Melayu.

Tebrau menempatkan tiga tanah rancangan Felda dan beberapa perkampungan Melayu.

Menjelaskan jurang sokongan itu, Choong menegaskan beliau medahului dengan lebih 3,900 undi di Puteri Wangsa - kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Cina - tetapi ketinggalan lebih 5,700 undi di DUN majoriti Melayu, Tiram .

Pengundi di Parlimen Tebrau terdiri daripada 47 peratus Melayu, 39 peratus Cina dan 11 peratus India.

Realiti politik ini mendorong Choong (gambar) untuk bekerja lebih keras di kawasan majoriti Melayu di Tebrau - tetapi ia kerja yang sukar, beliau pernah diusir atau diganggu akar umbi Umno.

Tetapi semua itu berubah pada 2016 apabila parti serpihan Umno - BERSATU - ditubuhkan. Orang yang dahulu mengusirnya kini membantunya masuk ke kampung Melayu dan tanah rancangan Felda.

"Seorang ketua Pemuda Umno cawangan (yang pernah membuat gangguan dulu) kini bersama saya. Malah dia memberitahu penduduk kampung: 'Dulu saya beritahu anda jangan sokong pembangkang tetapi sekarang saya minta anda berbuat demikian.'

"BERSATU banyak membantu... Dulu hanya segelintir yang sedia meminjam premis mereka di kubu Umno tetapi sekarang mereka lebih terbuka. BERSATU malah menawarkan untuk membantu saya menganjurkan program di sana," katanya lagi

Jambatan baru ke kawasan Melayu

Memanfaatkan sokongan BERSATU, Choong dapat memberikan khidmat kepada masyarakat Melayu, termasuk mereka yang mempunyai ahli keluarga kurang upaya.

"Saya bantu keluarga ini mendapatkan geran, menyumbang makanan dan malah beg sekolah ketika musim persekolahan bermula. Saya telah masuk ke kebanyakan kampung," katanya.

Ketua BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang menyuarakan sentimen serupa. "Steven agak selesa dengan kami. Sejak PRU lalu, beliau adalah calon paling rajin bekerja dan sehingga sekarang tidak putus asa untuk berkhidmat," katanya.

Kekuatan BERSATU di Tebrau tidak boleh dipandang ringan. Semasa ulang tahun parti itu tahun lepas, ia diiktiraf sebagai bahagian yang mendaftar ahli kedua teramai.

Mazlan berkata parti itu kini mempunyai kira-kira 3,000 ahli di Tebrau, yang kebanyakannya dari Umno.

Angka ini cukup untuk mengubah imbangan sokongan di Tebrau, tetapi dengan PAS mungkin turut bertanding dan menjadikannya pertarungan banyak penjuru, parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) harus bekerja jauh lebih keras.

Sementara HARAPAN menumpukan perhatian pada kawasan Melayu, MCA sedang berusaha untuk meraih semula sokongan masyarakat China.

MCA merancang untuk mencalonkan bekas timbalan menteri Datuk Seri Hou Kok Chung di kerusi parlimen Tebrau pada pilihn raya kali ini.

How pernah menjadi pensyarah dengan ijazah kedoktoran dalam Pengajian China. Pada PRU lalu, beliau ditewaskan bekas muridnya iaitu Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong di Parlimen Kluang.

Hou menerapkan strategi nasional MCA untuk peringkat tempatan, dan percaya usaha parti itu menghubungkan masyarakat Cina dengan peluang perniagaan dan kebudayaan di China akan berjaya mengembalikan sokongan mereka.

Dengan kerjasama persatuan-persatuan Cina Johor Bahru, Hou (gambar) menubuhkan dan mengetuai Pusat One Belt One Road (OBOR) Johor Bharu.

OBOR merupakan dasar luar utama China. Ia bermatlamat menghubungkan rantau ini melalui projek infrastruktur mega yang akan membuka banyak peluang perniagaan.

Bagaimanapun seorang pemimpin tempatan MCA percaya parti itu tidak akan dapat meraih kembali sokongan di kalangan pengundi Cina. Baginya, kunci utama adalah kawasan Melayu - yang terbukti membantu MCA kekal menang di Tebrau pada PRU lalu.

"Hou setiap hari mempromosikan OBOR namun ia tidak begitu sampai kepada pengundi Cina kebanyakan...Mereka penyokong kuat pembangkang, tidak perlu membuang masa dengan mereka.

"Ketika saya membaiki kereta di sebuah kedai tayar di sini baru-baru ini, saya buat tinjauan di kedai-kedai di sana dan pemilik kesemua sepuluh kedai menyokong pembangkang," katanya.

Tinjauan di laman Facebook Hou menunjukkan kebanyakan acara yang dihadirinya berkaitan dengan masyarakat Cina, seperti majlis di kuil, sekolah dan persatuan Cina. Tetapi turut ada acara yang melibatkan orang Melayu.

Menumpang ADUN Umno

Tumpuan MCA kepada masyarakat Cina di Tebrau kerana mereka mengharapkan penyandang DUN Tiram yang popular dari Umno, Datuk Maulizan Bujang untuk menangani pengundi Melayu di sana. Maulizan adalah abang kepada ketua BERSATU Tebrau.

Maulizan mengakui kesan yang diberikan BERSATU di sana tetapi yakin Umno mampu mengekalkan kemenangan di Tiram.

"Kami tidak bimbang dengan tsunami Melayu kerana kami rapat dengan masyarakat. Mereka tidak berfikir (dan mengundi) berdasarkan sentimen.

"Setiap hujung minggu saya akan turun kawasan. Saya berkhidmat keapada semua kaum. Kebetulan saya berdarah campur, emak saya daripada keturunan Cina. Saya tiada masalah langsung dengan semua masyarakat," kata Maulizan (gambar) lagi.

Pengerusi MCA Tebrau Ng Yew Aik yakin MCA dan Umno mempunyai formula kerjasama yang baik, terutama di peringkat majlis perbandaran.

"Di majlis perbandaran kami mempunyai hubungan yang baik, ia menjadikan khidmat lebih efisien. Ia membantu kami menyeimbangkan sokongan Cina, sementara Maulizan menjaga pengundi Melayu," kata Ng.

Namun MCA tidak semestinya menerima tempias populariti Maulizan di kalangan masyarakat Melayu walaupun kedua-duanya daripada BN.

Antara sebab utamanya sejumlah pemimpin Umno tempatan bersungguh-sungguh melobi agar MCA melepaskan kerusi Parlimen Tebrau dan memberikannya kepada Umno pada PRU kali ini.

Hou juga tidak begitu disenangi mereka.

"Saya tidak pernah lihat Hou duduk minum bersama kami untuk berbincang mengenai pilihan raya," kata seorang pemimpin Umno tempatan.

Ini memberikan lebih sebab, walaupun kecil, untuk mereka mendesak MCA melepaskan kerusi itu. Apa pun keputusan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dalam soal itu - sama ada berpihak kepada Umno atau MCA - ia akan mencetuskan rasa tidak puas hati sebahagian pengundi.

Masalah dalaman

Sementara Maulizan seorang yang mudah didekati dan mesra ketika menghadiri acara, Hou kurang menonjol dan tidak bangun untuk menyambut orang ramai.

Ini adalah kekurangan kecil, tetapi tetap tidak terlepas daripada pandangan akar umbi Umno yang membangkitkan perkara itu.

Dengan tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum PRU pada 9 Mei ini, BN bukan satu-satunya yang perlu berdepan masalah dalaman.

PKR dilaporkan sedang menimbang untuk mencalonkan "pemimpin utama" bagi mengetuai kemaraan mereka di Johor, dan calon berpotensi adalah naib presidennya Tian Chua (gambar).

Jika ia diteruskan, antara kerusi yang mungkin ditandinginya adalah Segamat atau Tebrau.

Namun sebarang pertukaran saat akhir, terutama di Tebrau yang mana Choong sudah turun ke lapangan sejak lima tahun lalu, mampu mencetuskan rasa tidak puas hati akar umbi di sana.

[Baca berita asal]

Lihat Komen