malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siapa kata HARAPAN nak hapus institusi bumiputera?
ADS

ULASAN | Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mendakwa pembangkang mahu melihat mana-mana institusi berteraskan kepentingan memperkasa agenda bumiputera dan bercanggah dengan konsep 'Malaysian Malaysia' menemui titik noktah.

Beliau berkata rakyat perlu pastikan momokan dan gerakan pembangkang kononnya PRU ke-14 bakal dibadai tsunami Melayu tidak berlaku.

"Letakkan kepercayaan kepada Umno dan BN kerana ia satu-satunya parti politik yang boleh menjamin masa depan serta kelangsungan generasi anak cucu kita,” katanya dalam majlis Himpunan Saya Anak MARA 15 April lalu.

Katanya, MARA akan terus wujud selagi Umno dan BN diberi mandat menerajui negara ini, dan gerakan untuk melihat MARA dan institusi berteraskan bumiputera dan Melayu lain 'berkubur' tidak akan menjadi kenyataan.

Jelas Najib cuba meraih undi orang Melayu melalui sentimen perkauman dan ancaman palsu.

Pengakuan Najib bahawa MARA juga berperanan sebagai asas keutuhan politik Umno dan BN menunjukkan institusi rakyat yang sebegini penting dijadikan alat politik.

Malah terpalitnya institusi ini dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa amat bercanggah dengan agendanya - memperkasa ekonomi Bumiputera dan sosioekonomi Melayu.

HARAPAN ulang ikrar

Bila masa pula pembangkang ingin menutup institusi Bumiputera kerana kononnya bercanggah dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’? Ini satu dakwaan berat yang tidak berasas.

Tidak ada mana-mana bahagian dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menyebut perkara itu.

Malah HARAPAN mengulang ikrar yang telah termaktub dalam Perjanjian Pakatan Harapan yang dimeterai pada 9 Januari 2016, iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Tambahan pula, Perkara 153 (2) juga ada peruntukan supaya dirizabkan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya untuk orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Di bawah teras Mereformasi Institusi Pentadbiran dan Politik dalam manifestonya, HARAPAN mahu mengukuhkan lagi institusi melayu dan bumputera seperti MARA, FELDA dan Tabung Haji. Tetapi dengan landasan yang betul dan tujuan sebenar ia ditubuhkan.

Ini kerana sudah terlalu banyak penyelewengan berlaku hinggakan matlamat dan potensi sebenar institusi berkenaan dan dananya tidak dapat dimanfaatkan kepada penerima yang sewajarnya. Tambahan pula, jurang kekayaan dalam kalangan bumiputera sendiri telah semakin melebar.

MARA misalnya telah dikaitkan dengan skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia yang didedahkan pada tahun 2015. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat siasatan termasuk mengambil dokumen di Australia. Seorang bekas menteri juga dipanggil untuk membantu siasatan.

Lebih malang, terdapat dakwaan penglibatan pemimpin Umno dalam skandal berkenaan. Malah Pengerusi MARA pada waktu itu Tan Sri Annuar Musa digantung tugas dalam kes penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli telah mempersoalkan pengurangan biasiswa pendidikan MARA untuk bumiputera. Adakah wang yang disalahgunakan akhirnya memangsakan golongan bumiputera sendiri?

Sehingga kini, tiada sebarang tindakan atau pengumuman yang mengesahkan dana MARA yang diselewengkan oleh individu-individu tertentu itu telah dipulangkan kepada MARA. Kegagalan mendapatkan kembali dana MARA ini adalah satu pengabaian tanggungjawab oleh kerajaan yang dikuasai Umno.

Rakyat juga pernah dikejutkan dengan transaksi penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh 1MDB kepada Tabung Haji melibatkan sejumlah dana RM 188.5 juta yang juga wang pendeposit institusi itu. Walhal kerajaan memberikan tanah tersebut kepada 1MDB sebelumnya dengan harga yang jauh lebih murah.

Dan juga skandal FELDA yang termasyhur – isu kerugian Felda Global Ventures (FGV), penjualan semula saham FGV oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah KWSP rugi RM 203.18 juta dan penukarah hak milik tanah di Jalan Semarak yang meragukan.

Tiada tsunami Melayu, tapi...

Meskipun kita boleh berbangga dengan institusi-institusi ini dan kononnya ia memberi manfaat kepada orang melayu dan Bumiputera, kita tidak boleh berdiam diri terhadap penyelewengan besar yang berlaku.

Terlalu ramai yang menangguk di air keruh dan menafikan manfaat sebenar yang sepatutnya sampai kepada rakyat yang memerlukan.

Oleh itu, sementara prinsip mengukuhkan dan memperkasakan institusi dipegang, HARAPAN akan menubuhkan suruhanjaya siasatan untuk menyiasat secara terperinci penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB, MARA, FELDA dan Tabung Haji.

Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan untuk mencadangkan tindakan susulan yang sesuai serta mekanisme terperinci untuk menyelesaikan skandal-skandal besar tersebut.

Selain itu, struktur pentadbiran setiap institusi berkenaan akan dikaji semula untuk memastikan wujud semak imbang yang cekap. Reformasi menyeluruh tata kelola negara berasaskan perlembagaan dan prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, inklusif dan telus wajib dilaksanakan.

Rakyat dan negara berhak ditadbir jauh lebih baik daripada pemerintah sekarang. Pembelaan dana Bumiputera dan Islam perlu dijamin tanpa menindas mana-mana kaum atau agama apatah lagi mengkayakan kroni.

HARAPAN sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahukan perubahan negara ke arah yang positif, dan tidak mahu bertolak-ansur dengan pihak yang sanggup menjadi talian hayat kepada Umno dan BN untuk terus memperbodohkan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Mungkin benar kata Najib yang tsunami orang Melayu tidak akan berlaku dalam PRU ke-14. Yang akan berlaku ialah tsunami rakyat Malaysia yang menolak jaminan palsu UMNO BN.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ketua penerangan PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen