malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sedondon Hadi dengan Najib macam penggusti
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 8:55 AM
Dikemaskini: 1:17 AM
ADS

PRU14 | Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak ada masalah untuk beliau hadir di majlis perdana menteri, malah berpakaian sedondon dengan presiden Umno itu.

Kata Abdul Hadi PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

Justeru katanya parti itu akan menyokong sebarang langkah baik diambil oleh BN - seperti isu kemanusiaan - namun membangkang apa yang dirasakan tidak baik seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Ada orang kata, tak boleh (hadir bersama di majlis perdana menteri), berpeluk-peluk pula, pakai baju sama.

"Dah, kita tengok wrestling (gusti), dia (pun) peluk-peluk juga lepas tu bertumbuk balik," katanya di majlis ceramah Gelombang Hijau Perak di Seri Iskandar malam tadi.

Turut hadir bendahari PAS yang juga pesuruhjaya parti itu untuk Perak, Razman Zakaria.

Beberapa kemunculan Abdul Hadi di majlis anjuran kerajaan mengundang kritikan sesetengah pihak. Antara program yang dihadiri bersama oleh Abdul Hadi bersama Datuk Seri Najib Razak ialah himpunan menyokong Rohingya.

Kedua-dua mereka juga pernah muncul dengan pakaian sedondon semasa majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di Kuala Lumpur pada pertengahan Dis 2015.

Bagaimanapun Malaysiakini dilarang membuat liputan majlis itu yang menyaksikan Abdul Hadi menyampaikan ucap utama, manakala perasmian dilakukan Najib.

Pada majlis solidariti Rohingya itu Abdul Hadi dan Najib berpelukan.

Pada 6 April lalu Abdul Hadi ditanya mengenai tindakannya berpelukan dengan Najib semasa menghadiri sesi dialog bersama masyarakat Cina di Kemaman.

Abdul Hadi menjelaskan Najib yang mahu memeluknya justeru tidak manis untuk beliau menolak langkah itu.

“Bukan saya peluk dia tapi dia (Najib) yang peluk saya,” katanya.

Bagaimanapun warga maya kemudian memuat naik semula klip video lain - yang lebih lama - menunjukkan pertemuan Najib dan Abdul Hadi.

Melalui klip video berkenaan kelihatan Abdul Hadi yang terlebih dulu menggerakkan tangannya untuk berpelukan.

Tidak dapat dipastikan insiden mana satu yang dirujuk Abdul Hadi semasa menjawab pertanyaan sesi dialog tersebut.

Kata anggota parlimen Marang itu isu berpekulan dengan pengerusi BN itu adalah mudah namun ada pihak yang sukar untuk memahaminya.

"Mudah saja nak jawabnya, tapi ada orang kita yang pening dan tak paham," katanya.

Lihat Komen