malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfuz: PAS T'ganu boleh saman hari Khamis
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 5:59 PM
Dikemaskini: 10:12 AM
ADS

PRU14 | Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar menyarankan PAS Terengganu segera menyaman beliau dan boleh memilih hari Khamis untuk memulakan prosiding berkenaan.

Secara sinis penyandang kerusi parlimen Pokok Sena itu berkata PAS Terengganu tidak perlu menanti sehingga PRU ke-14 berakhir sebelum membawanya ke mahkamah.

"Pihak yang akan memfailkan dokumen di mahkamah ialah peguam, bukannya Ustaz Satiful.

"Kalau sudah berbincang dengan peguam, arahkan peguam failkan tindakan.

"Adakah Satiful Bahri mencari hari yang sesuai untuk failkan tindakan? Selasa penuh, Rabu sudah diambil oleh Najib. Mungkin Khamis boleh failkan.

"Jangan tunggu lama-lama nanti habis duit tak sempat nak fail," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz sebelum ini secara terbuka mendakwa PAS Terengganu menerima wang bernilai lebih RM1 juta daripada Umno. Beliau juga menamakan tiga pemimpin parti terbabit sebagai individu yang penerima dana berkenaan.

Bagaimanapun hari ini ketiga-tiga individu terbabit mengadakan sidang media bagi menafikan tuduhan berkenaan. Mereka ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat; Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu Muhyidin Abdul Rashid dan bendahari PAS negeri, M Shukrimun Shamsudin.

Bercakap pada sidang media itu Satiful Bahri berkata PAS Terengganu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menganggapnya sebagai fitnah untuk parti terbabit.

"Ia merupakan satu tuduhan dan fitnah buat PAS Terengganu.

"Saya dah berbincang dgn peguam dan serahkan kes ini kepada beliau untuk ambil tindakan sewajarnya," kata Satiful Bahri.

Rela Umno senyum gembira

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak menganggap PAS Terengganu terlalu miskin sehingga terpaksa mengharapkan derma daripada Umno untuk melawan parti berkenaan.

"Ini satu tuduhan yang bodoh," katanya.

Semnetara itu Ketua Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Terengganu, Mohd Zabidi Yusof, berkata mereka akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas Mahfuz namun akan memberikan tumpuan kepada PRU ke-14 terlebih dulu.

"Sekarang fokus kita ialah pilihan raya. Kami tak mau membuang masa melayan isu-isu yang pada saya remeh-temeh, menyusahkan dan membuang masa," katanya.

Menurut Mahfuz beliau pelik apabila PAS Terengganu mahu menunggu lebih lama bagi menyelesaikan isu berkenaan kerana ia hanya akan menjadi bahan bualan masyarakat.

Kata bekas naib presiden PAS berkenaan isu iu akan memberi kesan buruk kepada PAS Terengganu, terutama Satiful Bahri, Muhyidin dan Shukrimun.


Baca Dituduh dapat duit Umno, Hadi: Fikirlah yang munasabah


"Adakah Satiful Bahri sanggup membiarkan imej partinya dilihat buruk dengan menerima dana daripada Umno?

"Adakah Satiful Bahri sanggup PAS tewas dalam PRU ke-14 nanti kerana isu penerimaan dana Umno ini?

"Adakah Satiful Bahri sanggup membiarkan Umno tersenyum gembira apabila PAS kalah?" katanya.

Mahfuz menjelaskan hanya dengan memulakan tindakan undang-undang barulah semua bukti - termasuk akaun bank yang dikaitkan dengan tuduhannya - boleh didedahkan di mahkamah.

Lihat Komen