malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR tanding 11 DUN, 2 parlimen di Terengganu
ADS

PRU14 | Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal bertanding di 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kawasan Parlimen negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pengerusi PKR Negeri Azan Ismail yang juga penyandang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata pengumuman akan dibuat pada 20 April bagi memperkenalkan calon PKR termasuk dua calon wanita.

"PKR akan bertanding di 11 kerusi DUN Terengganu termasuk saya yang akan mempertahankan kerusi DUN Bandar, (yang lain) Kota Putera, Permaisuri, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Alor Limbat, Kuala Berang, Telemong, Rantau Abang, Chukai dan Air Putih manakala dua kerusi Parlimen pula adalah Dungun dan Kemaman," katanya ketika membentangkan manifesto PKR Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Saringan ketat calon

Mengulas kelewatan pengumuman calon PKR , Azan berkata ia berlaku susulan langkah berhati-hati pucuk pimpinan parti yang membuat saringan ketat bagi memilih calon.

Katanya, PKR mahu calon yang bertanding kali ini bebas daripada sebarang perlakuan negatif yang boleh menimbulkan kesangsian pengundi terhadap kredibiliti calon itu sebagai wakil rakyat mereka.

"Kita tidak mahu lagi ada calon kita yang didapati menyokong fahaman komunis ataupun yang mengambil pil kuda.

"Calon yang bertanding juga adalah dari kalangan mereka yang berpengalaman dalam politik," katanya.

Nafi bekas wakil rakyat BN lompat

Azan menafikan dakwaan kononnya terdapat bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti dan menyertai Pakatan Harapan untuk bertanding pada PRU14.

"Saya ada dengar desas-desus itu tetapi hingga kini tiada sebarang permohonan untuk menyertai mana-mana parti dalam PH oleh individu yang didakwa," katanya.

Mengenai pengumuman PKR mengemukakan lima teras utama yang memberikan 10 tumpuan kepada keperluan rakyat Terengganu dengan bertemakan Demi Teganu, Harapan Cakne Rakyat.

"Lima dasar utama itu ialah memartabatkan agama dan pengukuhan nilai murni, kecekapan pengurusan petroleum dan sumber alam, keseimbangan ekonomi dan taraf hidup, warga sihat dan rumah untuk semua,“ katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen