malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nurul Izzah gesa Najib dedah butiran semua pelaburan China
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 12:33 PM
Dikemaskini: 4:39 AM
ADS

Datuk Seri Najib Razak perlu mendedahkan butiran perjanjian setiap perjanjian pelaburan dan usaha sama China di negara ini, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan orang awam menilai butiran dan baik buruk pelaburan dari negara itu yang bernilai ratusan bilion ringgit.

"Apabila nilai yang begitu besar menjadi sandaran, rakya sebagai pemegang taruh utama (stakeholder) berhak mendapat akses maklumat segala butiran berkaitan. Sebarang penyembunyian dan penyelewengan fakta adalah satu bentuk korupsi.

"Maka wajar bagi Najib membentangkan tanpa selindung semua terma dan syarat yang diletakkan pelabur luar termasuk China, agar masyarakat tahu dan faham bentuk pembiayaan, pulangan pelaburan yang mungkin diperolehi dan beban yang bakal ditanggung negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara projek besar yang melibatkan China di negara ini adalah Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion, Melaka Gateway (RM42 bilion) dan projek Forest City di Johor Bahru (RM100 bilion).

Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini berkata akan menyemak semula kontrak yang dimeterai negara dan China terutama yang melibatkan aset strategik negara, jika menang pada PRU ke-14.

Najib pula tegas mempertahankan penglibatan China itu dan berkata negara akan mengalami kerugian jika kerjasama itu dibatalkan, selain mengeruhkan hubungan dengan kuasa ekonomi dunia itu.

Nurul Izzah menyangkal kenyataan itu dan berkata HARAPAN tidak akan sama sekali memperjudikan masa depan negara dalam menangani kemelut dana pembiayaan dan hutang negara.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai membangkitkan dakwaan penggunaan tenaga kerja dari China berbanding pekerja tempatan untuk projek yang dilaksanakan negara itu.

"Saya yakin ramai ternanti-nanti penjelasan Najib tentang perkara ini. Sehingga hari ini, hanya jawapan bertulis Parlimen dalam satu muka surat yang diberikan dan tiada penjelasan terperinci," katanya lagi.

Beliau merujuk jawapan Kementerian Dalam Negeri pada 4 April lalu yang menyatakan pemaju ECRL memohon mengambil pekerja dari China "kerana peralatan, jentera dan mesin yang digunakan merupakan teknologi China dengan sistem pengoperasian dan manual penggunaan dalam Bahasa Mandarin".

Namun ia bertentangan dengan kenyataan pemaju ERCL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sehari kemudian, yang berkata hanya 30 peratus tenaga kerja untuk projek itu dari China dan negara Asia lain.

Projek ECRL dimiliki (MRL) manakala kontraktor utamanya adalah China Communications Construction Company (CCCC).

Lihat Komen