malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: DAP tiada hasrat tuntut jawatan MB Perak
ADS

PRU14 | Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyangkal desas-desus parti itu berhasrat menuntut jawatan menteri besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kali ini.

Spekulasi itu timbul berikutan berita menyatakan pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari - yang juga anggota parti itu - akan dicalonkan di Perak.

"Aziz Bari akan menjadi calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tetapi DAP tidak akan menuntut jawatan menteri besar.

"Umno sudah pun mencetuskan ketakutan di kalangan orang Melayu di Perak bahawa negeri itu akan ditadbir oleh menteri besar DAP," katanya pada sidang media di Batu Pahat hari ini.

"Saya ingin jelaskan; DAP tidak akan buat tuntutan. MB HARAPAN boleh jadi sesiapa saja, tetapi bukan dari DAP," katanya lagi.

Katanya penjelasan itu untuk "menyangkal penipuan yang tersebar".

Sebelum ini, parti komponen HARAPAN terutama BERSATU menggesa agar DAP tidak meletakkan calon Melayu di DUN Perak pada PRU ke-14, ekoran bimbang ia akan menakutkan pengundi Melayu konservatif.

Menurut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, jawatan menteri besar mestilah dipegang orang Melayu.

Pada dua PRU sebelum ini, DAP merupakan parti pembangkang yang paling banyak memiliki kerusi DUN di negeri itu.

Namun tiada wakil rakyatnya di kalangan orang Melayu, menyebabkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ketika itu masih bersama PAS dilantik menjadi menteri besar pada 2008.

Lihat Komen