malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi perjelas sebab PAS tolak AMANAH
Diterbitkan:  Apr 15, 2018 12:42 PM
Dikemaskini: 4:49 AM
ADS

Presiden PAS mendedahkan antara sebab parti itu tidak dapat bekerjasama dengan parti serpihannya, AMANAH kerana sebahagian besar pemimpinnya ialah bekas ahli parti Islam itu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mendakwa terdapat juga usaha yang dilakukan oleh pemimpin AMANAH terbabit untuk cuba membawa usul meminda perlembagaan parti Islam itu bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti, lapor Sinar Harian.

Abdul Hadi berkata cadangan itu cuba dijadikan usul dalam Muktamar 2015 namun mendapat bantahan akar umbi termasuk ditolak dalam mesyuarat Pusat kerana ia bercanggah dengan perlembagaan PAS.

Beliau mendakwa cadangan tersebut merupakan cubaan untuk meminda perlembagaan PAS bagi memudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.

“Sebab itu kita tolak kerjasama dengan AMANAH. Ini pertama kali saya dedahkan, dia nak ubah perlembagaan parti, sedangkan Majlis Syura Ulamak adalah badan teratas untuk buat keputusan muktamad. Ini menyebabkan ahli Pas menolak, dan selepas ditolak, dia tubuh parti baru.

“Mana boleh kurangkan kuasa yang diberikan kepada Majlis Syura, ia adalah hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS, yang kita rujuk kepada al-Quran, hadis termasuk golongan ulama. Asas perlembagaan itu jelas bercanggah,” kata beliau sebagaimana dilaporkan.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata tidak ada sebarang tindakan yang diambil terhadap insiden itu memandangkan PAS berpegang kepada prinsip demokrasi sebenar.

“Kita pilih secara demokrasi melalui Muktamar dan siapa yang bertanding. Disebabkan cadangan itu ditolak dalam mesyuarat, maka tidak dibawa sebagai usul,” Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata.

Beliau juga enggan mendedahkan nama individu tersebut namun bersyukur pihak tersebut tidak lagi bersama PAS.

Menurutnya, cubaan itu dilihat untuk menyamakan PAS dengan sebuah parti di Turki, yang menolak Islam dalam perlembagaan negara itu.

“Dalam perlembagaan di sana, tak benarkan parti Islam, sebut dalam politik pun tak boleh. Kita bukan macam itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata demikian.

Lihat Komen