malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BNSC: Rafidah silap, Najib pulangkan hampir semua 'derma'
Diterbitkan:  Apr 14, 2018 6:08 PM
Dikemaskini: 3:01 PM
ADS

Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC) mendakwa bekas menteri kanan Tan Sri Rafidah Aziz melakukan kesilapan berhubung jumlah wang yang telah dipulangkan semula oleh perdana menteri kepada penderma dari Arab Saudi.

Dalam kenyataannya hari ini BNSC bagaimanapun "berterima kasih" kepada Rafidah kerana mengakui wang yang pernah dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak berjumlah sekitar RM2.08 bilion (AS$681 juta).

Pengakuan itu katanya, sekali gus menolak dakwaan bahawa wang berkenaan berjumlah RM2.6 bilion seperti yang lazim didakwa pembangkang.

"Rafidah juga betul untuk menyatakan bahawa AS$620 juta telah dipindahkan ke akaun PM dan dipulangkan pada Ogos 2013 yang turut dilaporkan oleh media asing dan disahkan oleh peguam negara.

"Bagaimanapun, Rafidah membuat kesilapan yang sangat ketara apabila mengandaikan nilai tukaran matawang kekal tidak berubah dari Mac 2013 hingga Ogos 2013," jelas BNSC dalam kenyataan hari ini.


Baca: Surat terbuka Rafidah kepada LHDN


Selain itu BNSC berkata Rafidah turut membuat tuduhan palsu bahawa AS$61 juta kekal berada dalam akaun perdana menteri dan tertakluk kepada cukai pendapatan.

"Pada Ogos 2013, nilai tukaran matawang Ringgit adalah RM3.30 kepada AS$1. Ini bermakna AS$620 juta yang dipulangkan adalah bernilai kira-kira RM2.046 bilion.

"Untuk itu, dianggarkan RM2.077 bilion yang dimasukkan, manakala RM2.046 bilion dipulangkan. Ditolak dengan bayaran matawang asing dan khidmat perbankan, ini bermakna jumlah majoriti, jika bukan semua, sudahpun dikembalikan," katanya.

Kenyataan BNSC itu dibuat bagi menjawab surat terbuka Rafidah kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mempersoalkan sama ada perdana menteri dikenakan cukai atas jumlah yang diterimanya daripada putera diraja Saudi.

Menurut Rafidah, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dalam kenyataan rasminya mengesahkan AS$681 juta pada waktu itu dipindahkan ke akaun perdana menteri antara 22 Mac 2013 dan 4 April 2013.

Kenyataan peguam negara dibuat hampir tiga tahun kemudian.

Tidak lama selepas itu kata Rafidah, Apandi mengumumkan "sebahagian daripada derma berkenaan dipulangkan kepada penderma".

"Jumlah dana yang dipulangkan itu ialah AS$620 juta daripada jumlah keseluruhan AS$681 juta.

"Maksudnya ialah AS$61 juta (kira-kira RM236 .65 juta pada kadar tukaran mata wang asing pada waktu itu) disimpan dalam akaun perdana menteri," kata Rafidah.

Dalam surat terbukanya itu, Rafidah melontar beberapa persoalan untuk dijawab LHDN selepas beliau dan rakan-rakannya "curiga" mengenainya.

Menurut BNSC, pihaknya "berterima kasih" kepada Rafidah kerana mengutarakan fakta bahawa wang "RM2.6 bilion" telah itu dikembalikan.

"Ia sekaligus menafikan propaganda lazim pembangkang mengenai dana dimasukkan ke dalam akaun PM namun langsung tidak menyebut kepada siapakah wang itu dipulangkan," kata BNSC.

 

Lihat Komen